Seorang individu yang dikenali sebagai pemengaruh media sosial, yang sebelum ini menjadi viral
kerana tidak terpilih sebagai pemenang dalam Anugerah Perdana Belia Negara 2023, kini dikatakan telah menggunakan karya orang lain tanpa izin.
Dalam sebuah video yang dimuat naik oleh akaun @khairul_afsan di TikTok, bertajuk “karya aku ‘diciduk’ influencer terkenal”,
Khairul mendakwa bahawa pemengaruh media sosial, Zhiddin Aziz, telah mengambil teks ucapannya tanpa kebenaran.
Khairul menjelaskan bahawa semasa beliau menjadi jurulatih pada 2011, teks tersebut adalah hasil karya bersama saudara Amiruddin, seorang juara dunia pada masa itu. Khairul menegaskan bahawa Zhiddin sepatutnya mencipta sesuatu yang asli dan tidak meniru karya orang lain.
@khairulafsan Ap ni sedagha … Abis diciduknya #belia ♬ original sound Abu Ba – Khairul Afsan
Dalam klip video selama 1 minit 26 saat itu, Khairul menunjukkan beberapa video di mana Zhiddin menyampaikan ucapan di majlis dengan menggunakan teks yang sama yang telah ditulis oleh Khairul.
Khairul juga memuat naik video lama yang menunjukkan Amiruddin membaca teks yang sama yang kemudiannya digunakan oleh Zhiddin.
Nohhhhhhh, habis drama APBN2023, kantoi bab lain pulak. Influencer terkenal cilok karya orang lain tanpa kredit.
Kalau baca komen, lagi kau geleng kepala. Masih ada yang nak bekap? Berbanggalah wak lu! Hak cipta ni mungkin ramai yang tak faham.
Kredit: Tiktok @khairul_afsan pic.twitter.com/QDaLQB11Nn
— YB𝕏 (@ybperpaduan) November 16, 2023
Pada akhir video, Khairul memberikan pesanan, “bak kata pepatah gelagah buah rambutan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia tidak.” Pesanan ini menyatakan bahawa meniru tindakan orang lain hanya untuk keuntungan sendiri adalah suatu perbuatan sia-sia.
Namun, melalui tangkapan skrin yang dikongsi oleh seorang pengguna media sosial, difahamkan bahawa Zhiddin telah memohon maaf atas kejadian tersebut. Zhiddin memberikan alasan bahawa beliau merujuk kepada ayat-ayat tersebut kerana ia sering diucapkan oleh orang lain di sekelilingnya tanpa mengetahui siapa pemilik asalnya.
Zhiddin menyatakan maaf dan menegaskan bahawa beliau sentiasa memberi penekanan pada ilmu dan proses pembelajaran, dan dia sangat gembira apabila mengetahui siapa pemilik asal ayat tersebut. Zhiddin berjanji untuk terus mengingati nama Khairul sebagai rujukan dan mengucapkan terima kasih atas penjelasan yang diberikan.