USIANYA sudah menjangkau 53 tahun namun pelakon Zamarul Hisham masih menjadi ‘buruan’ peminat wanita yang cuba menggodanya.
Zamarul atau Zamarul Hisham Mohamed menyifatkan perkara itu sebagai pelik memandangkan umum mengetahui dia sudah beristeri tetapi masih ada mencuba nasib.
“Masa mula berlakon dulu, memang betul ada kena mengurat malah pada usia sekarang ini pun godaan tu masih wujud. Tak boleh nak lari tapi semuanya berbalik kepada niat sendiri.
Zamarul berkongsi dia masih menerima DM berbaur godaan daripada peminat wanita.
“Sekarang dah kahwin ke belum godaan itu tetap ada. Pelik juga, sekarang lebih ramai minat suami atau isteri orang berbanding mereka yang belum berkahwin.
“Sampai sekarang pun saya masih terima DM (direct message) di media sosial tapi mujur saya jenis tak suka balas DM,” katanya kepada mStar.
Zamarul berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Afyaa Dari Poket Artis ke Poket Artis di Shah Alam pada Khamis.
Dalam pada itu, Zamarul mengakui, sebelum bergelar pelakon dia memang seorang lelaki ‘playboy’ selain bersikap nakal.
Bagaimanapun sejak bergelar pelakon dia tidak pernah menggunakan statusnya sebagai selebriti untuk melakukan perkara tidak baik termasuk menjadi ‘buaya darat’.
“Saya bersyukur bila dah jadi pelakon ni saya tak buat jahat, maksud saya sebelum jadi pelakon saya memang nakal dan seorang ‘playboy’.
“Sebab orang tak kenal waktu tu. Tapi masa itu saya pakai motor RXZ, ramai wanita cuba pikat saya.
“Lepas jadi pelakon ramai kenal saya jadi saya perlu menjaga sikap, itu pemikiran yang selamatkan saya daripada melakukan perkara bukan-bukan,” jelasnya.
Baca : Rezeki jangan ditolak! Ribuan udang naik sendiri ke halaman rumah