Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga akibat ‘terpelanting’ ketika menggunakan treadmill di sebuah pusat kecergasan di Kota Pontianak, Kalimantan Barat semalam, lapor Detik.com.
Ketua Polis Daerah Pontianak Komisioner Adhe Hariadi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata mangsa berusia 22 tahun itu meninggal dunia selepas mengalami pendarahan di kepala.
“(Mangsa) kemungkinan tidak biasa menggunakan treadmill, dia terpelanting ke belakang, jatuh dari tingkat bangunan itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Pontianak, Antonius Trias Kuncorojati memaklumkan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia memaparkan treadmill tersebut diletakkan membelakangi tingkap.
Ujar Antonius, kedudukan peralatan itu tidak sepatutnya diletakkan dalam susunan berkenaan dan ketika kejadian, tingkap premis berkenaan juga dalam keadaan terbuka.
Beliau turut mengesyaki mangsa keletihan ketika menggunakan treadmill yang masih dalam keadaan hidup.
“Kedudukan treadmill sepatutnya menghadap tingkap, tetapi ia membelakangi tingkap,” katanya.
“Difahamkan, tingkap berkenaan kebiasaannya tertutup, namun ketika kejadian ia terbuka,” katanya.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas hasil bedah siasat dilakukan.
“Ketika dibawa ke Hospital Bhayangkara untuk bedah siasat, memang ada pendarahan di kepala dan perkara itu telah disahkan.
“Kes itu masih dalam siasatan pihak polis,” ujarnya.
Ahli bina badan maut, leher patah dihempap besi 180 Kg
Dalam perkembangan lain, seorang ahli bina badan di Bali, Indonesia dilaporkan maut ketika sedang bersenam di gym.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di The Paradise Gym ketika dia sedang mengangkat berat.
Pada waktu itu, Justyn Vicky yang berusia 33 tahun sedang melakukan squat dengan mengangkat beban melebihi 180 kilogram di belakangnya
“Vicky gagal menyempurnakan angkatan itu dan jatuh ke hadapan, lalu menyebabkan palang berat tersebut bergerak dari bahu ke paras belakang lehernya sehingga menyebabkan lehernya patah,” lapor Bali Discovery.
Sumber: Detik.com