Wanita didakwa hina Islam dibenarkan untuk diikat jamin

Wanita didakwa hina Islam dibenarkan untuk diikat jamin

Wanita didakwa hina Islam dibenarkan untuk diikat jamin. Wanita yang tular di media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang bekerja sebagai eksekutif di syarikat teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung ketika membuat persembahan di atas pentas.

Perbuatan itu dilakukan di Restoran Crack Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail, di sini, kira-kira 6 petang pada 4 Jun lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan iaitu perbuatan berkenaan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan agama di antara orang menganut agama sama.

Wanita didakwa hina Islam dibenarkan untuk diikat jamin

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan terbabit tidak boleh dijamin.

Namun katanya, sekiranya mahkamah mahu menawarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM50,000 berserta syarat tambahan.

“Ini termasuk melapor diri di balai polis berhampiran, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh dilarang memuat naik sebarang kenyataan di media sosial sepanjang prosiding kes ini,” katanya.

Bagaimanapun, peguam R Sivaraj dan Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Siti Nuramira memohon mahkamah memberikan ikat jamin kerana tertuduh memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.

Pihak peguam bela memohon ikat jamin yang rendah antara RM4,000 hingga RM5,000 selain mahkamah boleh mengenakan syarat-syarat tambahan terhadap tertuduh.

Selepas mendengar hujah dari kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 berserta syarat tambahan.

Tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Brickfields sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain dilarang memuat naik di media sosial dan media cetak berhubung prosiding kes ini.

Terdahulu, media melaporkan, wanita itu ditahan di Petaling Jaya, Sabtu lalu dan direman selama empat hari hingga hari ini, manakala teman lelakinya ditahan keesokannya serta direman selama tiga hari.

Sementara itu, teman lelaki wanita berkenaan, 38, pula akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini, mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

BACA:

Isu tuntutan waris Kesultanan Sulu, peguam ini sekolahkan Najib

Wanita ‘hafal 15 juzuk’ didakwa kerana hina Islam

Rakyat Sri Lanka bangkit buang Presiden korup