Viral : Burger Muscleman’ di Jalan Satok

Mempunyai rutin pemakanan yang berdisiplin dan mementingkan jumlah kalori diambil, mencetus idea buat atlet bina badan negara, Awang Mohd Azizul Ghani, membuka gerai burger berasaskan makanan sihat di bandar raya ini.

Malah, burger salmon yang dihasilkan Awang Mohd Azizul, 35, kini menarik perhatian masyarakat di bandar raya itu.

Beliau mengambil keputusan membuka gerai burger yang dikenali dengan nama ‘Burger Muscleman’ di Jalan Satok, di sini, selepas menyedari kesukaran orang ramai, untuk mendapatkan makanan sihat.

“Saya mengadaptasikan gaya pemakanan saya sebagai ahli bina badan, yang mementingkan khasiat protein. Antara yang paling menarik tumpuan ialah burger salmon, yang merupakan menu paling laris dan digemari pelanggan,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

 

Bercerita mengenai burger salmon, Awang Azizul berkata, beliau menggunakan 100 peratus salmon jenis Norwegian.

“Daripada pemerhatian saya, ramai orang suka makan salmon, tetapi nak makan di hotel mahal, jadi saya ambil inisiatif untuk jual sendiri dan hasilnya memang tak menang tangan, apatah lagi memang strategi saya untuk menjual burger salmon hanya pada Jumaat dan Sabtu,” katanya.

Tinjauan Bernama di gerainya yang dibuka mulai 4 petang sehingga 10 malam (semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di Satok mendapati, warga bandar raya ini tidak melepaskan peluang untuk mencuba menu sihat itu, selain burger daging ‘tricep’, hot dog ‘hamstring’ dan benjo ‘whey protein’.

Berkongsi berkenaan kariernya sebagai atlet bina badan negara, Awang Mohd Azizul menyifatkan tahun 2020 adalah tahun suram buat seluruh warga sukan itu, apabila semua kejohanan antarabangsa yang dijadualkan terpaksa dibatalkan, susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia.

“Walaupun kejohanan semua dibatalkan, tetapi sebagai atlet kebangsaan, tahap kecergasan perlu dijaga sentiasa. Saya juga menjalani latihan seperti biasa, dengan kos tanggungan sendiri dan tidak sabar untuk kembali beraksi mewakili negara,” katanya yang juga jurulatih kesihatan peribadi.

Awang Azizul yang beraksi bagi kategori welterweight, mula mewakili Malaysia pada 2015 selepas dinobatkan sebagai juara antara juara kejohanan Persatuan Bina Badan Malaysia 2015 di Labuan, selain pernah muncul naib johan pada kejohanan Mr Universe Dunia 2016 di Pattaya, Thailand dan tempat ketiga Mr Asia 2017 di Seoul, Korea Selatan

Sumber:https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/11/756617/burger-salmon-atlet-bina-badan-negara-jadi-viral

COMMENTS

Wordpress (0)