Seorang anggota polis trafik telah mendapat perhatian orang ramai apabila video yang memaparkan dirinya membantu warga emas melintas jalan di Sandakan, Sabah, tular.
Video pendek itu memaparkan tindakan murni polis trafik itu telah dikongsi menerusi akaun Facebook Polis Diraja Malaysia pada 8.34 malam, hari ini.
Pada awal video, anggota polis tersebut telah membantu pasangan warga emas untuk menaiki tembok yang agak tinggi di pertengahan jalan.
Selepas berjaya membawa kedua-duanya menaiki platform terbabit, anggota polis itu telah memimpin kedua-duanya untuk melintas jalan.
Beliau memastikan kedua-dua warga emas dapat melintas jalan dengan mudah dan selamat.
Video berkenaan dipercayai telah diambil oleh seorang individu yang sedang menunggu di pondok bas yang berada berdekatan dengan lokasi tersebut.
Dari tempat tersebut, individu terbabit telah menyaksikan tindakan murni polis trafik itu dari awal sehingga kedua-dua warga emas selesai melintas jalan.
Tindakan polis tersebut telah meraih perhatian pelbagai pihak, termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sendiri.
“Biarpun tidak sebesar mana bantuan dihulurkan, namun sifat ihsan yang ditunjukkan anggota tersebut membuktikan warga Sang Saka Biru sentiasa mengambil berat keselamatan orang awam.
“Syabas buat Koperal Fadhli Miskon dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan membantu pasangan warga emas melintas jalan raya ketika mengawal lalu lintas di sekitar Jalan Buli Sim Sim menghala ke Bandar Sandakan, Sabah, semalam,” tulis PDRM menerusi ruangan kapsyen.
Hantaran berkenaan telah meraih perhatian daripada warga Facebook yang rata-rata memberikan reaksi kagum terhadap anggota tersebut.
“Anggota macam ni yang rakyat perlukan, terbaik,” ujar seorang netizen.
“Polis bimbing seberang jalan semuanya selamat sampai. Polis sedia berkhidmat untuk negeri dan rakyat,” puji seorang netizen.
“Kampung saya ni, laju-laju kereta yang lalu sini. Terbaik dan terima kasih abang trafik,” komen seorang lagi netizen.