Video King Myvi terbang 4 kali lipat buat ramai terkejut

Sebuah video yang dirakam dari papan pemuka kereta (dashcam) telah memaparkan aksi kereta Myvi ‘terbang’ sebelum terbalik di Jalan Kimanis-Keningau pada Sabtu lalu

Memetik laporan Sinar Harian, pihak polis telah mengesahkan kejadian kemalangan yang berlaku dalam video tular yang berdurasi 29 saat itu.

Kereta berkenaan dilaporkan telah hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 37 Jalan Kimanis-Keningau pada lingkungan jam 10 pagi.

Dalam kejadian tersebut, pemandu bersama penumpang kenderaan terbabit dilaporkan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka, mereka sedang dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Kota Kinabalu.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian semasa menuruni bukit, tiba-tiba brek kereta tidak berfungsi sehingga menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terlanggar tebing bukit dan terbalik.

“Pemandu dan penumpang mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pengguna diminta berhati-hati ketika melalui laluan berbukit di Jalan Kimanis-Keningau

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kes ini akan disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

Sehubungan itu, Kamaruddin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar berwaspada khususnya ketika melalui jalan berbukit di Jalan Kimanis-Keningau.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memeriksa keadaan brek dan menyelenggara kenderaan sekiranya mahu melalui kawasan tersebut.

“Ini disebabkan bentuk muka bumi yang curam dan kawasan itu memang lokasi yang kerap berlakunya kemalangan,” jelasnya.

Sebelum itu, video rakaman daripada kamera papan pemuka yang memaparkan kejadian tersebut telah tular di media sosial. Dalam video tersebut, sebuah kenderaan dipercayai telah hilang kawalan dan memintas sebuah kenderaan lain pada garisan berkembar.

Kereta model Myvi itu kemudiannya telah terbabas di bahu jalan, sebelum melambung ke atas dan terbalik di laluan bertentangan.

BACA: Jemaah Malaysia meninggal atas kapal terbang dalam perjalanan buat umrah