Uyaina menangis, ibu dedah jarang punya waktu dengan anak

Uyaina menangis, ibu dedah jarang punya waktu dengan anak

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad menitiskan air mata kerana merindukan ibunya, Siti Noor Farah yang mendedahkan jarang bertemu dengan anaknya itu disebabkan jadual kerja yang terlalu padat.

Siti Noor berkata, dia berasa kasihan dengan anak perempuannya itu kerana terlalu sibuk bekerja sehingga kadang-kadang tidak mempunyai masa untuk bercakap dengannya.

“Ummi bukan apa. Kasihan sebab Yaina selalu kerja teruk sampai tiada masa untuk bermesra dan bercakap dengan Ummi.

“Itu pun sekejap sahaja waktu Yaina tengah bersolek kita dapat habiskan masa sekejap. Lepas itu, Yaina pergi kerja sampai lewat malam baru balik, Ummi pun dah tidur. Esok pagi pun masih macam itu juga,” kata ibu Uyaina.

Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 28, berkata, dia amat sayangkan ibunya dan bersyukur dengan kehidupan yang dipinjamkan oleh Allah SWT.

“Kita kena banyak bersyukur. Mungkin banyak yang kita tidak dapat capai tahun ini. Target kita tak tercapai mungkin.

“Tetapi kita kena bersyukur setiap hari Allah bagi rezeki, dapat bernafas dan meneruskan hidup dengan baik,” kata pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu.

Air mata Uyaina gugur pada program MeleTOP malam tadi apabila pihak produksi program hiburan tersebut membuat kejutan dengan membawa ibunya ke atas pentas.

Bukan itu sahaja, kekasih hati Uyaina iaitu penyanyi, Raja Syahiran turut melakukan kejutan apabila muncul di atas pentas membawa sejambak bunga buat dirinya

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/12/30/uyaina-menangis-ibu-dedah-jarang-punya-waktu-dengan-anak/