Ustaz Kazim Elias akui tak dapat tidur selama 15 tahun sebab sihir

Pendakwah dan penceramah bebas, Dato’ Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, meluahkan rasa syukur kerana telah pulih daripada masalah kulit yang dipercayai berpunca daripada perbuatan sihir. Ustaz Kazim menganggap kesembuhan ini sebagai satu nikmat setelah bertahun-tahun menderita akibat gangguan makhluk halus yang memerlukan rawatan intensif dan menelan banyak kos.

Dalam kenyataannya kepada BH Online, Ustaz Kazim berkata, “Saya bersyukur sangat dapat kembali merasai nikmat sihat.” Beliau menambahkan bahawa masa yang lama di hospital dan rawatan yang menyakitkan telah memberi kesan yang besar bukan hanya kepada dirinya, tetapi juga kepada keluarganya yang turut terpaksa menghadapi pelbagai gangguan termasuk melihat perkara bukan-bukan.

“Cukuplah duduk lama di hospital, berubat lama dan banyak berhabis duit. Cukuplah sakit dan berhadapan dengan pelbagai gangguan termasuk nampak perkara bukan-bukan. Walaupun isteri dan anak-anak sudah lali dengan perkara ini, tapi kalau boleh saya tak mahu lagi hidup seperti itu,” kata Ustaz Kazim.

Ustaz Kazim Elias akui tak dapat tidur selama 15 tahun sebab sihir

Selain itu, Ustaz Kazim juga perlu berpantang daripada beberapa jenis makanan seperti rebung, limau nipis, kambing, dan air tebu kerana makanan-makanan tersebut boleh memberi kesan buruk kepada badannya. “Kesan daripada santau, saya perlu jaga makan. Sampai sekarang saya tak boleh makan rebung, limau nipis, kambing dan tak boleh minum air tebu sebab semua itu ada bisa. Kalau makan, badan saya akan sakit dan pedih,” jelasnya.

Pengalaman yang dialami membuatkan Ustaz Kazim lebih berhati-hati dalam menyampaikan ceramahnya agar tidak menyinggung perasaan orang lain. “Saya perlu berpantang ketika bercakap sebab takut boleh buatkan orang terasa hati. Dulu masa muda, saya jadi penceramah yang garang, lantang dan bersemangat. Ketika itu, ada orang marah kerana mungkin saya terlepas cakap. Selepas dapat tahu saya tanya dan mengadap orang yang menghantar sihir kepada saya,” katanya, menambahkan bahawa orang tersebut mengaku terasa hati dengan kata-katanya.

Ustaz Kazim juga mengungkapkan bahawa beliau telah mengalami masalah susah tidur sejak 15 tahun lalu akibat gangguan sihir tersebut. “Kalau malam saya hendak tidur, saya akan minta pemandu bawa kereta ke Tanjung Malim misalnya, kemudian patah balik. Jadi, dapatlah saya tidur selama dua hingga tiga jam. Saya sudah dapatkan rawatan doktor, namun tidak dapat diselesaikan juga. Sihir ini tidaklah hilang sepenuhnya, ‘tapak’ atau ‘bekas’ daripada gangguan itu masih ada. Disebabkan itu, kalau saya pergi ke tempat yang ada gangguan, saya akan rasa seperti tidak kena,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Kazim turut berkongsi tentang filem terbaru yang dilakonkannya, “Zim Zim Ala Kazim,” yang diarahkan oleh Mawi dan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 13 Jun depan. Melalui filem ini, beliau berharap dapat mendidik penonton tentang kesan buruk sihir dan memupuk kesedaran untuk menjaga tutur kata.

“Dalam filem ini saya hendak ajak orang ramai jangan mengamalkan sihir termasuk membuka mata ramai kita tidak menyebabkan orang menghantar sihir. Jadi, saya hendak ajak orang ramai supaya lebih menjaga tutur kata,” katanya.

Baca: Akhirnya polis buka mulut alasan bawa semula mak Zayn Rayyan ke lokasi kejadian