UMNO kena sedar MN bukan PAS-UMNO sahaja – Hadi Awang

UMNO kena sedar MN bukan PAS-UMNO sahaja – Hadi Awang

Hala tuju Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai PAS dan Umno pada 2019 menjurus kepada kerjasama parti Melayu-Islam dengan penyertaan parti bukan Islam yang tidak ekstrem, tidak dengan Umno sahaja, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu menetapkan sedemikian disebalik spekulasi mengenai masa depan MN, yang dikatakan terkubur dengan keputusan PAS untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bawah lambang Perikatan Nasional.

Di sebalik kritikan terhadap PAS yang dituduh bermain “dua kolam” dalam usaha ia mengimbangi hubungan dengan Bersatu dan Umno, Hadi pada sidang media di mesyuarat agung tahunan PAS hari ini menegaskan PAS tidak pernah lupa Muafakat Nasional.

“Kita pegang kepada piagam. Piagam tidak melibatkan PAS dengan Umno sahaja. Hala tuju MN kerjasama parti Melayu Islam dengan mengajak parti bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya.

Hadi membalas kritikan terhadap partinya dengan berkata jika Umno boleh bekerjasama dengan MCA dan MIC, mengapa tidak boleh bersama Bersatu dan PAS.

Sebahagian besar ahli Umno dikatakan senang dengan Bersatu, yang ditubuhkan oleh bekas ahli parti itu dan menerima beberapa wakil rakyat yang melompat parti selepas kekalahan Barisan Nasional pada PRU14.

PAS menjalin kerjasama dengan Umno melalui MN pada Sept 2014, dan kemudian membentuk kerajaan bersama Bersatu, Umno, dan beberapa bekas wakil rakyat Pakatan Harapan.

COMMENTS