Tujuh tahun yang kekal misteri kehilangan MH370 dari radar

Hari ini, 8 Mac, genap 7 tahun pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 hilang daripada radar semasa perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777 itu masih menanti pengakhiran tragis walupun penuh misteri.

Menurut senarai penumpang, terdapat 2 penumpang kanak-kanak dan kesemua 12 anak kapal merupakan rakyat Malaysia.

Daripada kesemua warganegara China yang menaiki pesawat itu, 19 daripadanya merupakan artis yang hadir ke sebuah pameran di Kuala Lumpur. Juga dipercayai terdapat dua penumpang yang menggunakan passport curi.

Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) jam 00.41 pagi pada Sabtu dan dijadualkan tiba di Beijing pada jam 06.30 pagi.

Keadaan cuaca ketika penerbangan dilaporkan baik, manakala juruterbang pula mempunyai lebih daripada 18,000 jam penerbangan dan mula bertugas sejak 1981.

Malaysia Airlines ialah syarikat penerbangan yang mempunyai rekod yang baik. Pesawat Boeing 777-200 pula merupakan pesawat yang paling selamat serta dilengkapi dengan teknologi moden.

Walaupun diakui pesawat ini pernah mengalami kemalangan kecil sewaktu bergerak di landasan pada tahun 2012, tetapi ia telah dibaiki dan mendapat kelulusan untuk beroperasi semula.

Kali terakhir pemeriksaan dilakukan adalah pada 10 hari sebelum insiden itu terjadi.

Pesawat yang dikendarai kapten kanan Zaharie Ahmad Shah itu tidak dapat dikesan selepas 40 minit meninggalkan Kuala Lumpur.

Sebanyak 25 negara menyertai misi mencari namun tidak berhasil.

Beberapa teori konspirasi timbul berkenaan kehilangan pesawat tersebut, termasuklah Zaharie sengaja mengubah perjalanan penerbangan tersebut selepas beliau mengucapkan “Selamat malam. Malaysian 3-7-0”, sebelum pesawat itu hilang daripada radar pada 01.21 pagi.

Amerika Syarikat yang menghantar pegawai penyiasat FBI berkata ia tidak menolak kemungkinan insiden ini ada kaitan dengan serangan pengganas susulan kehadiran dua penumpang dengan pasport curi. Namun, teori itu tidak dapat dibuktikan.

Dalam pada itu, bekas juruterbang berpengalaman, Datuk (Kapt) Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, tiada bukti sahih dan kukuh yang mengatakan bahawa pesawat MH370 ditembak jatuh oleh sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Lautan Hindi yang bernama Diego Garcia.

Pelbagai teori dan spekulasi liar kemudian ditimbulkan pelbagai pihak sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Dalam pada itu, beberapa insiden amuk oleh waris termasuk kekecohan yang berlaku di Hotel Sama Sama di mana berlangsungnya sidang media MH370 turut menjadi perhatian.

Enam ahli keluarga, dipercayai warganegara China, mendesak penjelasan daripada pihak berkuasa berkenaan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia itu.

Mereka meluru masuk kira-kira jam 4.30 petang ke dalam bilik sidang media sambil membawa kain rentang yang tertera “Kami membantah kerajaan Malaysia lewat menyelamatkan penumpang dan mendesak ahli keluarga dibawa pulang tanya sebarang syarat.”

25 Mac 2021 mencatat detik hitam insiden MH370 apabila Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pesawat MH370 telah ‘berakhir’ di Lautan Hindi.

Walau apa pun spekulasi yang ada, MH370 masih kekal misteri.

COMMENTS

Wordpress (0)