Training gol keeper budak sekolah dah macam latih tentera

Seorang jurulatih pasukan bola sepak telah menerima kecaman hebat sejak semalam gara-gara melaksanakan latihan intensif ala-ala ketenteraan kepada murid perempuan. Video latihan tersebut mula tular di media sosial selepas dimuat naik oleh ibunya menerusi akaun TikToknya, @norakmalizajaafar.

Video yang diambil di sebuah padang bola sepak di Manjung, Perak, menunjukkan jurulatih yang dikenali sebagai Miorarmy mengarahkan latihan dalam cuaca panas terik. Di awal video, Miorarmy dilihat tegas ketika menunjukkan teknik menyelamatkan bola di gawang gol.

Pada pertengahan video, murid perempuan tersebut diminta berbaring sisi untuk latihan menangkap bola yang ditendang oleh jurulatih. Jurulatih tersebut kemudian menendang bola terus ke muka budak perempuan itu berkali-kali sebagai peringatan untuk membentuk badan mengikut panduan yang diajar. Murid perempuan itu mula menangis tetapi terus dimarahi untuk menguatkan mentalnya sebagai penjaga gol.

“Keras (badan), kau nak main keeper, kau keras. Kenapa kau kalih muka? Kau nak aku hambat depan muka kau? Kau nak? Jawab, buang malu kau, keeper strong (penjaga gol kuat). Woi, kau nak tangkap apa tu? Nak tangkap apa? Dalam game (perlawanan), kau boleh bergerak lagu (macam) tu ke? Kalau dalam game kau bergerak macam tu, penonton gelakkan kau je,” tengking jurulatih berkenaan.

Video tersebut menerima pelbagai reaksi orang ramai yang rata-ratanya mengecam latihan intensif yang diberikan kepada murid berkenaan kerana dianggap kurang bersesuaian untuk peringkat umurnya.

“Cara latihan begini untuk dewasa boleh lah kot. Ni remaja lagi risau budak tu hilang keyakinan je nanti sebab kena depan kawan-kawan dia,” komen seorang pengguna bernama Isma.

“Saya pun presiden bola sepak wanita dulu. Tapi alhamdulillah bila sesi latihan jurulatih ajar lembut je. Pegang pun tidak. Berbeza dengan video ni,” ciap Aisyah.

“Padahal masa kursus ‘coaching’ pun dah beritahu budak bawah umur 12 tahun tak digalakkan untuk ‘heading’ bola. Eropah pun macam tu. Ni siap rembat ke muka terus,” komen Lily.

Namun, ada juga yang menyokong pendekatan latihan tersebut, dengan mengatakan ia perlu bagi melatih seorang penjaga gol yang mempunyai ketahanan mental yang kuat lebih-lebih lagi di peringkat muda.

“Keeper ni posisi paling susah. Hati kena kental, tak boleh takut bola, tak boleh ada kesilapan, satu posisi yang sangat penting untuk pasukan menang. Latihan memang kena ‘double’ berbanding ‘player’ lain,” ciap Syuib.

“Permintaan jurulatih Miorarmy ni tinggi sekarang. Kalau budak-budak nak jadi ‘keeper’, yang berani dan terbaik sahaja boleh. Antara jurulatih terbaik untuk belajar. Memang cara dia nampak kasar tapi pelatih rela bertahan,” ciap Zamani.

“Ni jurulatih anak saya. Dia memang ada lesen dan tauliah ‘coaching’ dari Persatuan Bola Sepak Malaysia melalui program ‘grassroot’ di Kementerian Pertahanan. Dia memang ajar anak-anak dengan baik. Dia tak mendera, dia tak buli,” komen Marina pula.

Sehingga kini, video tersebut mendapat lebih 1.2 juta tontonan, 42,200 tanda suka, dan 4,871 perkongsian. Reaksi berbelah bahagi dari orang ramai menunjukkan betapa kontroversialnya pendekatan latihan intensif ini dalam dunia sukan, terutamanya melibatkan kanak-kanak.

Baca : ‘Tahi lalat’ penuh di baju? Jangan risau, ini cara betul untuk ‘hapuskan’