Tidak menafikan nikah dalam talian, Che Lah minta hormati privacy

Tidak menafikan nikah dalam talian, Che Lah minta hormati privacy

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi memohon maaf sekiranya isu akad nikah secara dalam talian yang dikaitkan dengannya, menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, beliau kesal dengan penularan perkara itu kerana menyifatkan ia sebagai sesuatu yang peribadi.

Tanpa mengesah atau menafikan sama ada beliau adalah Ahli Parlimen yang dimaksudkan itu, Che Abdullah berkata, sedang meneliti tindakan perundangan ke atas pihak yang cuba mengaibkannya.

“Saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya isu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan saya dalam minggu ini telah menyinggung mana-mana pihak.

“Ketika ini saya telah mendapat nasihat daripada peguam yang telah dilantik dan akan mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat. Dan saya dinasihatkan supaya tidak mengulas lanjut.

“Saya berasa amat kesal dengan isu ini… di mana isu yang dihebohkan itu, saya rasa semua pun boleh rasa bahawa ia bersifat sangat peribadi, yang melibatkan bukan sahaja saya , malah seluruh keluarga saya… dan isu sebegini sepatutnya tidak berlaku,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand akan menjalankan siasatan berhubung isu majlis akad nikah secara dalam talian yang didakwa membabitkan seorang timbalan menteri di negara ini.

Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat menjelaskan pihaknya tidak pernah mengiktiraf pernikahan secara dalam talian.

Abdul Aziz mengulas mengenai satu rakaman pernikahan melalui telefon yang didakwa membabitkan seorang Ahli Parlimen Kelantan berserta dua saksi, yang tular di media sosial.

Rakaman video dan salinan sijil nikah yang tular itu turut mendapat kritikan ramai kerana individu itu didakwa melangsungkan pernikahan sewaktu rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sijil berkenaan antara lain memaparkan tarikh pernikahan dikatakan pada 1 Jun lepas dengan pasangan yang berusia 20-an.

Ketika ini PKP yang dilaksanakan di selatan Thailand tidak membenarkan sebarang aktiviti rentas negara bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, walaupun enggan mengulas lanjut, Che Abdullah berharap agar semua pihak dapat memberikan ruang dan menghormati privasi keluarganya.

Namun tegasnya isu yang tular itu tidak mengganggu beliau dalam menjalankan tugas sebagai timbalan menteri serta Ahli Parlimen.

Beliau ditemui pemberita ketika meninjau projek SMART sawah berskala besar (SMART SBB) di Seberang Perak, dekat sini pada Selasa.

COMMENTS