Terima duit lebih RM800 ribu, wanita berdepan denda RM50 juta atau penjara

Terima duit lebih RM800 ribu, wanita berdepan denda RM50 juta atau penjara

Terima duit lebih RM800 ribu, wanita berdepan denda RM50 juta atau penjara. Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sik atas 22 pertuduhan menerima wang deposit berjumlah keseluruhan RM876,375 tanpa lesen sah sejak April lalu.

Tertuduh, Norsyazwany A Rahim, 23, dari Kampung Landak Hilir, Kupang, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Najwa Che Mat sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya pada Isnin.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua anak itu didakwa menerima wang deposit daripada 22 individu secara berasingan berjumlah antara RM2,500 hingga RM489,000 di lokasi berasingan sekitar Baling bermula 10 April hingga 2 Ogos 2022.

Perbuatan itu dilakukan tanpa satu lesen yang sah yang diberikan bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Oleh sebab itu, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum bawah Seksyen 137(2) akta yang sama.

Terima duit lebih RM800 ribu, wanita berdepan denda RM50 juta atau penjara

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ikmal Affandi Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Salihen Mastor.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM214,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, Mohamad Salihen memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya berniaga sambilan dengan pendapatan tidak menentu.

Beliau juga merayu dibenarkan jaminan dengan jumlah paling rendah iaitu sebanyak RM30,000 untuk kesemua pertuduhan bagi membolehkan wanita itu menguruskan dua anak masih kecil dengan yang bongsu yang kini berusia lapan bulan masih menyusu dan anak sulung berusia dua tahun.

Hakim Najwa menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi 21 pertuduhan manakala satu pertuduhan ditawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dan jumlah keseluruhan wang jaminan yang dibenarkan ialah RM115,000 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan dan pasport antarabangsa diserah sepanjang perbicaraan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 November 2022.

BACA:

“Jadilah diri sendiri”, pesanan bekas isteri buat DDNK

BKM gagal dikreditkan, ini rupanya punca

Lelaki ini dedah macam mana orang putih rampas bisnes orang tempatan