Tambang bas sekolah RM300, ibubapa mula garu kepala

Tambang bas sekolah RM300, ibubapa mula garu kepala

Tambang bas sekolah RM300, ibubapa mula garu kepala. Golongan ibu bapa tidak berpuas hati apabila terdapat pengusaha perkhidmatan bas sekolah menaikkan lagi kadar tambang sehingga mencecah RM300 sebulan pada tahun depan bermula 3 Januari ini.

Rata-rata yang ditemui Kosmo! semalam berkata, pihak pengusaha bas sekolah telah memaklumkan mengenai kenaikan itu minggu lalu, malah mereka sudah meminta ibu bapa membuat pembayaran tambang baharu sebelum Selasa ini.

Majoriti ibu bapa berpendapat, kenaikan itu bersifat keterlaluan selain didakwa cuba mengambil kesempatan di sebalik kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barangan keperluan.

ADA ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan Rapid Penang sebagai pengangkutan harian anak-anak mereka ke sekolah.

Seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Fadzil, 36, berkata, dia pening kepala memikirkan kenaikan mendadak tambang bas sekolah untuk anak sulungnya.

Tambang bas sekolah RM300, ibubapa mula garu kepala

Menurutnya, jarak antara rumahnya di Bayan Lepas ke sekolah anaknya di Bukit Jambul hanya dianggarkan sejauh kira-kira 6 kilometer (km).

“Kadar tambang sedia ada yang dikenakan bagi tahun 2022 dikatakan sudah cukup tinggi iaitu RM260 sebulan.

“Sungguh terkejut apabila pengusaha bas memaklumkan menerusi kumpulan WhatsApp minggu lalu tentang kenaikan tambang baharu iaitu RM300 sebulan,” katanya.

Fadzil memberitahu, ketika ini, memang susah untuk mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang lain kerana ramai pengusaha gulung tikar.

Katanya, banyak pengusaha bas juga tidak mahu mengambil pelajar yang tinggal jauh dari sekolah.

“Disebabkan itu, saya tiada pilihan lain ketika ini walaupun kenaikan kadar tambang tersebut tidak masuk akal,” ujarnya.

Seorang ibu yang juga pekerja swasta, Aida Rahman, 39, berkata, dia pula terpaksa membuat keputusan untuk tidak lagi menggunakan perkhidmatan bas sekolah mulai tahun depan untuk dua orang anaknya yang berusia 13 dan 15 tahun.

“Saya sudah memaklumkan kepada pengusaha bas berhubung perkara ini selepas dimaklumkan mengenai tambang baharu yang bakal dinaikkan mulai Januari depan.

“Tambang sedia ada baru sahaja dinaikkan awal tahun ini. Tahun 2023 naik lagi RM30, menjadi RM130 seorang, sedangkan jarak ke sekolah dekat sahaja iaitu lebih kurang 4km.

“Saya dan suami sudah buat keputusan, anak-anak akan menggunakan perkhidmatan bas Rapid untuk pergi dan balik ke sekolah setiap hari mulai tahun depan,” ujarnya.

Bagi Aishah Abdullah, 41, pula, dia terpaksa ‘melobi’ kadar tambang bas sekolah dengan harga paling tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan itu untuk kegunaan dua anaknya.

“Saya terpaksa meletakkan harga tambang sendiri iaitu RM180 sebulan untuk seorang, sedangkan kadar sebenarnya hanya RM140 sebulan.

“Jika tidak dilobi, memang anak tiada van untuk ke sekolah. Memang ada segelintir pengusaha yang bersikap demand, mereka tidak akan melayan ibu bapa yang minta diskaun atau mahu
tambang dikurangkan.

“Pengusaha van sekolah akan memberi pelbagai alasan termasuk kononnya laluan anak kami tidak sama dengan pelajar-pelajar lain, sedangkan, lokasi perumahan hanya terletak bersebelahan,” ujarnya.

Justeru, Aishah menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan penyelarasan dan kadar tambang bas sekolah mengikut jarak yang perlu dipatuhi serta diguna pakai oleh semua pengusaha bas sekolah di seluruh negara.

“Ini bagi mengelak daripada cubaan mengambil kesempatan pihak-pihak tertentu ketika pengguna lain terutama ibu bapa berdepan dengan bebanan kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengusaha bas yang hanya mahu dikenali sebagai Ramesh, 40-an berkata, tindakan itu adalah bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa.

“Banyak sebab saya perlu naik­kan harga tambang bas sekolah tahun depan. Kami terpaksa tanggung kos selenggara dan baik pulih van atau bas sekolah yang tinggi setiap bulan bagi memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Bukan itu sahaja, saya juga perlu memikirkan tentang kebajikan pemandu van sekolah. Ada yang sudah bersuara mahu gaji dinaikkan tahun depan dan saya perlu menunaikannya.

“Ketika ini, bukan senang untuk menggajikan pemandu, lebih-lebih lagi ramai pula antara mereka yang sudah beralih kepada pekerjaan lain ketika pandemik Covid-19 dahulu. Jika ada pun, ramai yang sudah berusia 50-an,” katanya kepada Kosmo!.

Seorang pengusaha dan juga pemandu van sekolah yang ha­nya mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, berkata, dia tidak memaksa mana-mana ibu bapa atau penjaga pelajar untuk terus mendapatkan perkhidmatannya selepas menetapkan kadar tambang baharu tahun depan.

“Saya terpaksa naikkan tambang baharu cuma RM20 seorang bagi menampung kos sara hidup diri dan keluarga. Ini belum lagi berdepan dengan pelbagai kerosakan van.

“Saya perlu menanggung isteri dan lima anak yang masih bersekolah. Saya tidak memaksa ibu bapa berbuat demikian (membayar ikut tambang baharu) ke­rana ramai lagi yang memerlukan perkhidmatan van sekolah ketika ini,” ujarnya.

BACA:

Menang kes saman terhadap Ali Puteh, komen balu Abam buat ramai tergamam

Tahanan wanita sebak diberi peluang tatap jenazah anak bongsu kali terakhir

Pelitup muka akan diwajibkan kembali, pelaksanaan berperingkat