Takiyuddin perbetulkan kenyataan, kerajaan iktiraf Jawatankuasa Bebas Khas Darurat

Takiyuddin perbetulkan kenyataan, kerajaan iktiraf Jawatankuasa Bebas Khas Darurat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Takiyuddin Hassan berkata kerajaan tetap mengiktiraf Jawatankuasa Bebas Khas Darurat yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Takiyuddin berkata, kenyataan medianya berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan perisytiharan Darurat telah dipetik di luar konteks.

“Saya ingin mengulangi komitmen dan jaminan kerajaan bahawa kerajaan akan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya semasa membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisma yang wujud secara sah di sisi undang-undang.

“Dengan kata lain kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata kerajaan juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya

Takiyuddin semalam berkata jemaah menteri bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Yang di Pertuan Agong sama ada darurat perlu dilanjutkan atau tidak.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada laporan yang memetik Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mengenai tempoh darurat.

Kenyataan Takiyuddin itu mengundang kritikan timbalan speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said yang mengatakan kerajaan tidak seharusnya “mengalihkan tiang gol” ketika darurat hampir berakhir.

Dua anggota Jawatankuasa Bebas Darurat iaitu Noh Omar dari Umno dan Saifuddin Nasution Ismali dari PKR juga menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai penghinaan kepada jawatankuasa bebas berkenaan.

Mengulas lanjut, Takiyuddin hari ini berkata kerajaaan terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuatkuasa sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

“Justeru dalam keadaan negara kita masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19 ini, sebaiknya semua pihak perlu akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada,” jelasnya.

COMMENTS