SUV rempuh motosikal, penghantar makanan disahkan maut

SUV rempuh motosikal, penghantar makanan disahkan maut

SUV rempuh motosikal, penghantar makanan disahkan maut. Penghantar makanan maut manakala seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Persimpangan Lampu Isyarat, di Jalan Meru/Jalan Haji Sirat, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, polis menerima laporan kemalangan membabitkan dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Nissan X-trail, sebuah Proton Wira dan dua motosikal kira-kira jam 2.30 petang.

“Siasatan mendapati, persimpangan berkenaan mempunyai empat lorong yang mana dua lorong jalan terus dan dua lorong untuk membelok ke kanan.

“Siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 2 petang itu berlaku apabila Nissan X-trail yang memandu di lorong kiri hendak membelok ke kanan.

“Namun, secara tiba-tiba kenderaan jenis sama di lorong kanan ingin jalan terus menyebabkan kedua-duanya terbabas yang mana Nissan X-trail yang berada di lorong kanan melanggar sebuah motosikal yang berada di arah bertentangan.

SUV rempuh motosikal, penghantar makanan disahkan maut

Sementara, Nissan X-trail yang berada di lorong kiri melanggar sebuah motosikal penghantar makanan dan kereta Proton Wira yang berada di arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat pelanggaran itu katanya, penghantar makanan iaitu lelaki tempatan berusia 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

“Mayat dihantar ke HTAR bagi tujuan bedah siasat setelah keputusan saringan Covid-19 diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu SUV masing-masing berusia 20 tahun dan 24 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Fadli Ismail di talian 017-2141318,” katanya.

BACA:

Perasaan hancur kerana gigi kuning, lelaki ini kecewa ketika ‘dating’ pertama kali

Pengurusan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia mohon maaf kepada ‘rider’, rupanya ini puncanya

Kes culik ejen kosmetik: ‘Insya-Allah kita akan terima berita baik’ – Polis Kelantan