“SPP lebih tinggi daripada Ketua Polis Negara dan saya Pengerusi SPP,” kata Hamzah Zainudin

“SPP lebih tinggi daripada Ketua Polis Negara dan saya Pengerusi SPP,” kata Hamzah Zainudin

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menafikan penglibatan beliau dalam urusan campur tangan pertukaran pegawai kanan polis.

Beliau berkata, sebarang urusan pertukaran pegawai kanan polis adalah keputusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP).

“Saya tidak pernah mencampuri urusan polis, saya minta maaflah kalau ada orang yang mengatakan saya mencampurinya.

“Tapi ini jelas, kerana saya adalah pengerusi SPP kalau ada keputusan yang telah dikeluarkan adalah keputusan SPP, tapi itulah kadang-kadang keputusan ini ada khilafnya ada orang yang kadang-kadan menerima sesuatu keputusan itu dengan cara (maksud) lain,” katanya selepas hadir Program Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Hamzah berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai isu campur tangan beliau dalam pertukaran pegawai kanan polis.

“Apa yang paling penting keputusan itu harus dilihat sebagai keputusan SPP. Betullah saya Menteri, tetapi saya pengerusi SPP.

“Jadi keputusannya adalah keputusan majoriti dan saya sentiasa ikut keputusan majoriti. Daripada saya buat keputusan sendiri, saya rasa elok semua pihak memahami bahawa SPP adalah suruhanjaya yang paling tinggi, kerana ia dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri,” katanya.