Senjata laser terbaharu Russia digunakan di Ukraine

Senjata laser terbaharu Russia digunakan di Ukraine. Russia dipercayai menggunakan senjata rahsia bagi melawan kebanjiran senjata Barat termasuk menggunakan laser berkuasa tinggi di Ukraine untuk membakar dron.

Presiden Russia, Vladimir Putin, pada 2018, mendedahkan negara itu memiliki peluru berpandu balistik antara benua, dron nuklear bawah air, senjata supersonik dan laser.

Bagaimanapun, tidak banyak yang diketahui mengenai perincian laser baharu itu, malah Putin menggelarnya Peresvet, dinamakan sempena seorang pahlawan sami Ortodoks zaman pertengahan, Alexander Peresvet yang terkorban dalam pertempuran.

Timbalan Perdana Menteri, Yury Borisov, yang bertanggungjawab dalam pembangunan ketenteraan, berkata Peresvet sudah digunakan secara meluas dan mampu ‘membutakan’ satelit sehingga 1,500 kilometer (km) di atas bumi.

Malah, katanya, sudah terdapat sistem senjata laser yang lebih berkuasa daripada Peresvet dan boleh membakar dron dan peralatan lain.

Senjata laser terbaharu Russia digunakan di Ukraine

Borisov merujuk kepada ujian Selasa lalu, yang dikatakan mampu membakar dron dari jarak 5 km dalam masa hanya lima saat.

“Jika Peresvet berupaya ‘membutakan’ satelit, generasi baharu senjata laser kini boleh memusnahkan sesuatu sasaran dengan hanya menggunakan haba, ia membakar,” katanya.

Ditanya sama ada senjata itu digunakan di Ukraine, Borisov berkata: “Ya, prototaip yang pertama sudah pun digunakan di sana, ia digelar sebagai Zadira”.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, secara sinis membandingkan laser itu dengan senjata ‘ajaib’ yang didedahkan Nazi Jerman dalam cubaan menghalang kekalahannya ketika Perang Dunia Kedua.

“Semakin jelas bahawa mereka (Russia) tidak mempunyai peluang dalam peperangan, lebih banyak propaganda mengenai senjata hebat bagi memastikan berlaku perubahan.

“Sekarang kita lihat dalam bulan ketiga perang berskala penuh ini, Russia cuba mencari ‘senjata ajaibnya’… ini jelas menunjukkan kegagalan penuh misi itu,” katanya.

Borisov bagaimanapun berkata beliau baharu saja pulang dari Sarov, yang juga pusat penyelidikan senjata nuklear Russia.

Katanya, generasi baharu senjata laser menggunakan jalur elektromagnet yang luas akan menggantikan senjata konvensional.

“Ini bukan idea eksotik, ini adalah realiti,” katanya. – REUTERS

BACA:

3 kali tukar agama, akhirnya Marcell Siahaan temui ketenangan

Tular video buaya muncul di sungai Perak

“Ustaz Kazim tengah berlakon dengan Mawi kan?” Persoalan Aeril buat netizen bengang

COMMENTS

Wordpress (0)