Seniman Abu Bakar Omar meninggal dunia

Seniman Abu Bakar Omar meninggal dunia

Pelakon Abu Bakar Omar, 72, meninggal dunia pada jam 9.04 pagi tadi di Kedah Medical Centre, Alor Setar, selepas mengalami masalah jantung.

Jenazah akan dimandikan dan dikafankan di No 7, Jalan Bukit Nyamuk, Mukim Kurung Hitam, Kuala Nerang, Kedah

Menurut anaknya, Mohd Zainuddin Abu Bakar, jenazah akan disemadikan dan disolatkan sekali lagi di Masjid Al Ghufran di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Jalan Pegawai, Alor Setar selepas solat Asar.

“Mohon doakan ayahanda kami diampuni segala khilafnya, ditempatkan bersama para solihin.

“Bagi pihak keluarga, kami memohon maaf atas segala salah silap almarhum ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini,” katanya dalam satu status yang dimuat naik di Facebook.

Abu Bakar terkenal dengan lakonan drama dan filemnya sejak tahun 1980-an.Antara drama dan filem lakonannya ialah Opah, Cinta Kolestrol, Hingga Hujung Nyawa, Duyung Pak Keoi, Anak Jantan Pak Dee dan Mana Mau Lari.

Allahyarham juga pernah membintangi filem Leftenan Adnan, bersama pelakon, Hairie Othman.

Abu Bakar pernah memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Sri Angkasa 1983 – Pelakon Lelaki Terbaik (Drama) pada 1983, Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio) (1990), dan Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin pada 2012.Antara yang awal memaklumkan berita sedih itu ialah rakan artis Fauziah Ahmad Daud.

COMMENTS