Barcelona adalah salah sebuah kota besar dan destinasi pelancongan menakjubkan yang terletak di Sepanyol. Kota ini kaya dengan pelbagai seni bina dan tempat bersejarah yang menarik serta suasana malam yang meriah.
Terkenal dengan karya seni unik Antoni Gaudi, Barcelona menyimpan 1001 sejarah yang tidak ternilai, mencipta pengalaman yang dapat memukau pelancong dari seantero dunia.
Sagrada Familia adalah satu daripada mercu tanda yang ikonik di Barcelona. Ia merupakan basilika Katolik yang direka oleh arkitek terkenal, Antoni Gaudí, dan merupakan salah satu karya seni bina yang paling terkenal di dunia.
Walaupun pembinaannya bermula pada tahun 1882, tetapi Sagrada Familia masih belum siap dan pembinaan terus berjalan sehingga ke hari ini. Percaya atau tidak, tempoh pembinaan sudah pun melepasi 140 tahun.
Namun begitu, penantian warga dunia bakal berakhir selepas presiden kepada sebuah organisasi yang menguruskan pembinaan tersebut telah menetapkan tarikh siap bangunan berkenaan.
Menurut UNILAD, dunia akhirnya boleh menyaksikan karya sempurna Antoni Gaudi itu pada tahun 2026, setelah tertangguh selama 144 tahun.
Lebih menarik, tahun Sagrada Familia dijangka siap itu juga merupakan tahun ulang tahun ke-100 kematian Gaudi.
Apabila siap kelak, Sagrada Familia akan mengatasi Ulm Minster di Jerman untuk menjadi gereja tertinggi di dunia.
Bagaimanapun, di sebalik berita positif itu, Sagrada Familia masih terpalit dengan beberapa kontroversi antara melibatkan struktur tangga ke gereja berkenaan.
Dalam laporan UNILAD, orang awam resah apabila mendapat tahu tangga yang menuju ke pintu masuk utama Sagrada Famili bakal dibina merentasi dua blok besar.
Ekoran itu, sekurang-kurangnya 1,000 keluarga dan unit perniagaan terpaksa dipindahkan kelak.
Difahamkan, organisasi berkenaan mempertahankan keputusan untuk membina tangga tersebut dengan memberi alasan struktur itu merupakan sebahagian daripada pelan asal Gaudi.
Menurut jurucakap organisasi tersebut, pelan berkenaan sudah pun dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan pada 1915 serta Gaudi turut menandatangani sendiri pelan itu.
BACA: Misteri binaan Masjid Tiban yang didakwa dibina dengan bantuan jin