Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar tiga jenis mata wang berjumlah RM6.356 juta di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, dekat sini, minggu lalu.
Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohammad Hamidan Maryani, berkata, berdasarkan maklumat risikan, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Honda Accord dinaiki dua lelaki tempatan berusia 25 dan 26 tahun.
“Hasil pemeriksaan rapi dijalankan terhadap kenderaan tersebut, anggota penguat kuasa menjumpai empat kotak berisi mata wang Ringgit Malaysia, Dollar Singapura dan Dolar Amerika Syarikat di dalam but kereta tersebut.
“Pemandu tersebut diarahkan untuk membuka kotak tersebut dan pasukan telah menjumpai mata wang RM6.075 juta, SGD10,000 (RM30,505) dan USD60,000 (RM 250,890). Jumlah keseluruhan nilai mata wang ini adalah sebanyak RM 6,356,395,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Mohammad Hamidan berkata dua lelaki tersebut ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Jun lalu manakala kenderaan dan barang kes disita.
Kes disiasat di bawah Seksyen 28B (1) bersama Seksyen 86A(1)(b), Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, katanya.
“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM3 juta atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Baca:Tak sangka semua lagu senario legend ini berbentuk nasihat, patutlah diorang kekal sampai sekarang