Sekatan jalan raya akan ditambah menjelang Ramadhan – Polis

Sekatan jalan raya akan ditambah menjelang Ramadhan – Polis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertimbangkan langkah menambah sekatan jalan raya di seluruh negara bagi mengelakkan orang ramai mengambil kesempatan merentas negeri untuk menyambut Ramadan di kampung halaman.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata usaha memperketatkan pemeriksaan akan turut memfokus kepada laluan lorong tikus.

Malah, katanya, semua anggota polis diarahkan supaya terus mengambil tindakan tegas dan tidak lagi memberi nasihat, terhadap individu merentas negeri tanpa sebab munasabah.

Ketika ini, beliau berkata, sebanyak 35 sekatan jalan raya diadakan di pintu masuk sempadan negeri di seluruh negara.

“Sudah menjadi budaya setiap kali menjelang Ramadan, banyak pergerakan merentas negeri akan berlaku untuk menyambut Ramadan bersama keluarga di kampung.

“Justeru bagi mengelakkan perkara itu berlaku, polis mempertimbang langkah memperketatkan pemeriksaan dengan menambah sekatan jalan raya, terutama di laluan lorong tikus, untuk memastikan tiada pergerakan merentas negeri tanpa sebab munasabah.

“Ini perlu kerana penularan kes COVID-19 yang sepatutnya menurun, dilihat masih tinggi, malah timbul kluster baharu berikutan pergerakan merentas negeri,” katanya.

COMMENTS