“Saya tak faham macam mana boleh kena kompaun RM50,000,” – Annuar

“Saya tak faham macam mana boleh kena kompaun RM50,000,” – Annuar

“Kompaun biasanya maksimum RM10,000, saya tak faham macam mana ia boleh mencecah RM50,000,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Annuar memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai nasib peniaga burger Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, dari Kota Bharu, Kelantan yang dikompaun sehingga RM50,000 kerana beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Selain Wan Mohd Faisal, dua lagi pemilik premis makanan di Kelantan turut dilaporkan dikenakan kompaun RM50,000 atas kesalahan sama.

Menurutnya, terdapat garis panduan berhubung ketetapan nilai kompaun dan pelaksanaannya.


“Jadi, sesiapa yang mengeluarkan kompaun perlu mengikut garis panduan terperinci.

“Pegawai penguat kuasa terbabit tidak boleh melakukan di luar garis panduan ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Fitrah Kasih di Jakel Mall, di sini, hari ini.

Majlis itu menyaksikan penyampaian sumbangan baju raya dan wang tunai kepada 50 wakil kumpulan asnaf dan ibu tunggal dari Kelab Amal Kebajikan Taman Kosas Ampang, anak yatim dari Rumah Jalinan Kasih Anak-Anak Yatim Miskin Selangor dan orang kurang upaya cacat penglihatan dari Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Annuar berkata, individu yang dikenakan kompaun itu berhak mengemukakan rayuan untuk mendapatkan diskaun.

“Saya kira mereka boleh mendapat diskaun 50 peratus dan kes itu akan disiasat,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu bagi menghangatkan lagi berita yang sedang tular.

“Ada berita (tular) direka dan orang ramai diharap tidak mendedahkan diri mereka dengan hukuman.

“Bulan mulia ini jangan sebar fitnah,” katanya.

COMMENTS