Saya kata Pakatan Harapan, saya tak sebut nama Maszlee, kata Asyraf

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau tidak memetik nama sesiapa, termasuk Maszlee Malik, ketika membuat kenyataan mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) menarik balik buku teks sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengandungi fakta yang dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

“Cuba semak balik kenyataan saya, satu patah perkataan pun saya tidak sebut nama dia (Maszlee). Saya hanya beritahu soal kandungan buku teks sejarah Tingkatan 4 ini perlu ditarik balik dan dipinda.

“Penulisan kandungan buku teks ini dimanipulasi dan ia berlaku pada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH),”katanya dalam forum bertajuk “Buku teks sejarah dimanipulasi, komunis pula diagungkan?”, yang disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Asyraf berkata demikian ketika mengulas tuntutan permohonan maaf yang dibuat oleh Maszlee, termasuk dakwaan bahawa beliau memfitnah bekas menteri itu.

Mempertahankan hujahnya bahawa buku sejarah tersebut dicetak ketika pentadbiran PH, Asyraf berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, selepas Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) diluluskannya pada 24 Apr 2018, ia perlu mendapat kelulusan Kabinet sebelum proses pencetakan dan pada waktu itu kerajaan telah membubarkan Parlimen dan Jemaah Menteri Barisan Nasional (BN) sudah terbubar.

“Antara perkara menjadi pertikaian, kita (Pemuda Umno) melihat ia berlaku di bawah kerajaan PH, tetapi Kementerian Pendidikan kata pada 24 Apr 2018 DSKP meluluskannya (zaman BN) maknanya sebelum kerajaan PH.

“Tetapi kita kena ingat bahawa Parlimen dibubar pada 7 Apr 2018. Persoalannya kalau sudah diluluskan di DSKP, saya difahamkan biasanya Kabinet perlu meluluskannya dahulu sebelum penulisan buku teks bermula dan akhirnya dicetak.

“…dan kena ingat juga bahawa percetakan buku teks Sejarah Tingkatan 4 ini dibuat pada tahun 2019, jadi antara Apr 2018 hingga 2019 proses penulisan buku itu berlaku bukan pada zaman BN kerana Parlimen sudah dibubar,” katanya.

Hadir sama dalam forum itu ialah pakar sejarah dan penulis buku teks Sejarah KBSM Ramlah Adam serta timbalan pengerusi Sekretariat Gabungan NGO tolak buku teks Sejarah Tingkatan Empat (BST4), Yazid Othman.

Terdahulu Maszlee, yang merupakan bekas menteri pendidikan berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada Asyraf supaya memohon maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana fitnah berhubung isu itu yang dibangkitkannya sebelum ini.

Asyraf sebelum ini menggesa KPM menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 4 kerana mendakwa terdapat unsur ia dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Beliau juga mendakwa kerajaan sebelum ini secara “secara halus dan dan tersirat” mengangkat anggota komunis dan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberi pengiktirafan.

KPM bagaimanapun mempertahankan ketepatan fakta buku teks itu susulan dakwaan tersebut.

Ia berkata, buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sejarah Tingkatan 4 mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku, termasuk ketepatan fakta.

“Pada 24 Apr 2018, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan 4 telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh panel pakar rujuk kurikulum sejarah dan buku teks sejarah KPM,” katanya.

 

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/27/semak-kenyataan-saya-tak-petik-nama-mazlee-kata-asyraf/

COMMENTS

Wordpress (0)