Sarjan Polis didakwa rogol remaja umur 16 tahun di depan balai polis

Seorang pegawai rendah polis berpangkat sarjan sedang disiasat selepas didakwa merogol seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun.

Pelajar berkenaan dirogol di dalam kereta sebanyak dua kali, masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya dalam daerah Perak Tengah, pada Julai dan Oktober tahun lalu.

Sumber berkata, perbuatan suspek berusia 42 tahun itu terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya, baru-baru ini.

Sarjan Polis didakwa rogol remaja umur 16 tahun di depan balai polis

Katanya, polis sudah memanggil mangsa bersama ahli keluarganya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Identiti suspek dikenal pasti berdasarkan nombor telefon yang terpapar dalam telefon bimbit mangsa.

“Polis juga merampas dua telefon bimbit, masing-masing milik remaja berkenaan dan suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes terbabit pada 20 Januari lalu.

Beliau berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang menunggu serahan laporan kesihatan oleh pihak hospital. Hasil pemeriksaan awal pihak hospital mendapati tiada kecederaan luaran pada mangsa,” katanya.

Baca juga:Ingatkan kek batik dalam peti besi, rupanya duit RM31K dalam sampul!