Saluran paip buruk punca air keruh, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan

Saluran paip buruk punca air keruh, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan

Kerajaan Kelantan sudah mengenal pasti pendekatan baru dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air pada masa akan datang selepas sekian lama kehidupan harian penduduk negeri itu dibelenggu isu tersebut.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah berkata melalui konsultan kerajaan negeri mendapati satu takungan air yang besar diperlukan bagi menyelesaikan seluruh isu air di Kelantan.

Malah katanya kawasan yang dirasakan sesuai untuk dibina takungan atau empangan besar tersebut sudah dikenal pasti, iaitu di Labok, Machang.

“Kalau (projek ini) berjalan kita akan dapat selesaikan semua isu air di Kelantan pada masa akan datang, ia sudah dibincangkan.

“Ini juga sudah dibincangkan dengan kerajaan persekutuan dan pihak kementerian sudah bagi persetujuan awal.

“Jadi kita minta rakyat tunggu dan beri ruang,” katanya dalam majlis Dialog Ummah Negeri Kelantan siri ketujuh yang berlangsung secara dalam talian malam tadi.

Mohd Amar berkata demikian ketika tampil mengulas mengenai permasalahan air di negeri itu yang sering menjadi bualan banyak pihak.

Duit tak turun lagi

Anggota Dewan Undangan Negeri Adun (Adun) Panchor itu juga memohon supaya rakyat bersabar dan memberi ruang kepada pihak kerajaan yang sentiasa berusaha mencari menyelesaian terbaik.

Malah untuk menunjukkan bagaimana kerajaan negeri memahami masalah air yang dihadapi rakyat Mohd Amar berkata, dia sendiri pernah berdepan dengan kesulitan tersebut.

Malah katanya ia dihadapi semasa dia sudah menjadi Adun dulu.

“Di rumah saya dulu masa mula-mula (awal) jadi wakil rakyat pun ada masalah air… air keruh.

“Apabila kita bincang dengan AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd), sebahagian air keruh disebabkan saluran paip yang buruk. Apabila tukar, (masalah) selesai.

“(Ia) bukan masalah air Kelantan tetapi saluran paip rumah kita. Ramai yang tak faham dan tak ambil penjelasan sebenar kita dalam isu air.

“Ini masalahnya, kita tengok dengan mata lalat, bukan dengan mata lebah,” ujar Mohd Amar.

COMMENTS