Pertembungan antara alam manusia dengan alam ghaib sering mencetuskan misteri dan pelbagai persoalan
. Gangguan sedemikian boleh berlaku disebabkan beberapa faktor seperti tempat yang kotor, amalan khurafat, sejarah hitam, dan mereka yang lemah semangat seperti kanak-kanak.
Melalui satu ciapan tular di laman X, seorang wanita berkongsi pengalaman seram yang berlaku di kediamannya ketika dia sedang mendodoi anak kecilnya untuk tidur.
Dia terkejut apabila mendengar suara aneh yang mengikut rentak suaranya, walaupun dia hanya keseorangan di rumah.
“Ngeri betul ya hari ni. Insidennya macam ni, anak aku menangis lepas tu aku pun macam biasa buat ‘shushh, shushh’ untuk dodoikan dia.
Tiba-tiba apabila aku dah berhenti, kedengaran ada yang sambung ‘shushh, shushh’ dekat belakang aku. Dah sudah, rumah memang aku seorang je waktu tu,” kata wanita itu.
Wanita tersebut segera mengambil minyak bidara untuk disapu pada anaknya kerana percaya gangguan itu yang menyebabkan anaknya menangis secara tiba-tiba. Dia juga menyedari bahawa rumahnya mula menjadi tumpuan makhluk halus sejak dia melahirkan anak.
“Ini bukan kali pertama, sebelum ini ada terjadi juga gangguan, semuanya bermula apabila aku dapat bayi. Bayangkan mainan yang ada rakaman tu tiba-tiba boleh berbunyi sendiri, padahal anak aku tengah tidur ni,” tambahnya.
Di ruangan ciapan balas, ramai warganet berkongsi petua dan pengalaman mereka dalam menghadapi gangguan mistik. Ada yang menasihatkan agar elakkan bunyi ‘shushh, shushh’ kerana menurut perubatan Islam Darussyifa, bunyi tersebut boleh menarik perhatian makhluk halus. Lebih baik menggunakan zikir atau selawat ketika mendodoikan anak.
Ada juga yang berkongsi pengalaman seram mereka, seperti mainan anak yang berbunyi sendiri pada waktu malam. Mereka menasihatkan untuk membuang bateri dari mainan anak sebelum tidur bagi mengelakkan gangguan.
Selain itu, warganet mencadangkan penggunaan minyak kasturi kijang yang disapu pada anak dengan bacaan Bismillah lima kali setiap kali masuk waktu Maghrib sebagai langkah pencegahan gangguan.
Kisah wanita ini dan balasan daripada warganet menunjukkan betapa serius dan meluasnya kepercayaan terhadap gangguan makhluk halus dalam masyarakat, serta langkah-langkah yang diambil untuk menghadapinya.