Bergantung kepada jenis kereta anda, anda pasti akan perasan bahawa tayar ganti yang disediakan oleh pengeluar kenderaan di dalam bonet kereta
lebih kecil jika dibandingkan dengan empat tayar yang lain
Tayar ganti ini, yang biasanya dikenali sebagai tayar ‘donat’, menggunakan rim berwarna hitam dan kelihatan lebih ‘fragile’.
Namun, mengapa pengeluar kereta memilih untuk menyediakan tayar ganti yang berlainan saiz daripada tayar asal? Terdapat tiga sebab utama mengapa tayar donat ini berbeza dengan tayar yang digunakan secara biasa.
Menjimatkan Ruang
Salah satu sebab utama tayar donat lebih kecil adalah untuk menjimatkan ruang, memandangkan ia mempunyai diameter, lebar, dan tapak yang lebih kecil. Ini adalah penting supaya ruang di dalam bonet kereta dapat dimaksimumkan.
Kereta Lebih Ringan
Tayar donat biasanya diperbuat daripada bahan yang ringan, dan ini tidak akan memberi beban berat kepada keseluruhan kereta. Berbanding dengan tayar yang bersaiz penuh, tayar donat membantu mengurangkan berat keseluruhan kereta dan seterusnya mengurangkan penggunaan bahan api.
Kos Kereta yang Lebih Rendah
Dalam pembuatan kereta, setiap penambahan komponen dan bahan akan meningkatkan kos keseluruhan kenderaan. Oleh itu, tayar donat yang lebih kecil ini lebih ekonomi berbanding dengan tayar yang bersaiz penuh, membantu mengurangkan harga jualan kereta.
Fungsi Asal Tayar ‘Spare’
Namun, yang perlu diberitahu kepada semua pemilik kenderaan mengenai tayar donat ini adalah tujuan dan fungsi sebenar tayar ganti tersebut.
Tayar donat bukanlah tayar yang sesuai untuk digunakan dalam jangka waktu yang lama dan hanya bersifat sementara. Ini kerana perbezaan saiz tayar akan memberi kesan kepada pengendalian dan penyelarasan kereta.
Kerana tayar donat ini tidak direka untuk kegunaan jangka panjang, fungsinya hanya untuk memudahkan anda untuk pergi ke kedai tayar dan memastikan tayar asal dibaiki atau ditukar secepat mungkin.
BACA: Baru je isi dah habis, disangka tangki minyak bocor rupanya habis diminum monyet