Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Keputusan Pertama
Telah dibuat dalam Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) yang diadakan secara dalam talian pada 31 Disember 2023.
Pengerusi First Instance Body (FIB), Tuan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil kerana Kelantan FC
gagal memenuhi Kriteria Kewangan di bawah sub-kriteria F.04 (Tiada Tunggakan Gaji Terhadap Pekerja, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – Sehingga Jun).
Selain itu, mereka juga tidak dapat memenuhi sub-kriteria F.11 (Tiada Tunggakan Gaji Terhadap Pekerja, LHDN, KWSP, PERKESO & EIS – Sehingga Ogos) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.
“Pada 1 November 2023, FIB bersetuju memberikan lanjutan masa kepada Kelantan FC untuk menyelesaikan Langkah Pertama bagi sub-kriteria F.04 sehingga 15 November 2023 untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji sehingga Ogos 2023.
“Langkah Kedua bagi sub-kriteria F.11, yang melibatkan penyelesaian lima kes FIFA dengan keputusan sehingga 31 Ogos 2023, perlu diselesaikan sebelum atau pada 31 Disember 2023.
“Namun, pada 15 November 2023, Kelantan FC memohon lanjutan masa sehingga 30 November 2023 untuk menyelesaikan arahan tersebut,” ujar Mohd Nasir.
Walaupun FIB menerima rayuan ini, mereka pada masa yang sama memberikan hukuman denda sebanyak RM20,000 kepada Kelantan FC serta hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan seterusnya sehingga semua kes FIFA diselesaikan sepenuhnya.
“MFL kemudian meminta Kelantan FC menghantar bukti tambahan berupa resit pembayaran yang menunjukkan cek telah dijelaskan.
“Pada 10 Disember 2023, FIB menerima dokumen yang didakwa sebagai bukti pembayaran gaji pemain dan pegawai Kelantan FC untuk bulan Ogos 2023, namun bukti-bukti tersebut masih tidak mencukupi untuk mematuhi syarat pertama yang diberikan kepada Kelantan FC.
“FIB juga telah berbincang dengan Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) untuk memastikan pembayaran gaji telah dilakukan oleh Kelantan FC,” katanya.
Namun demikian, setelah semakan dibuat, terdapat pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji bulan Ogos 2023 atas beberapa sebab. Kelantan FC kemudian menghubungi MFL, menghantar cek baru, dan melakukan pembayaran dalam talian kepada beberapa pemain dan pegawai yang terlibat.
“Kelantan FC menghantar bukti resit pembayaran yang baru bagi semakan FIB dan mendapati tujuh pemain dan seorang pegawai masih belum menerima gaji penuh untuk bulan Ogos 2023 disebabkan isu penamatan kontrak antara pemain atau pegawai dengan Kelantan FC.
“MFL meminta Kelantan FC menghantar dokumen sokongan pada 18 Disember 2023 untuk semua tujuh pemain dan seorang pegawai yang terlibat bagi semakan FIB. Walau bagaimanapun, setelah menerima dokumen daripada Kelantan FC pada 18 Disember 2023, terdapat dokumen sokongan yang tidak lengkap untuk seorang pemain dan seorang pegawai,” jelasnya.
Sementara itu, untuk Langkah Kedua, FIB telah memerintahkan Kelantan FC untuk menyelesaikan lima kes FIFA yang mempunyai keputusan sebelum atau pada 31 Disember 2023, jam 5 petang. Namun, FIB tidak menerima sebarang dokumen hingga tarikh akhir.
“Kelantan FC juga tidak menghantar bukti resit pembayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023.
“Setelah gagal menyelesaikan Langkah Pertama dan Langkah Kedua pada 30 November 2023 dan 31 Disember 2023, Kelantan FC gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi saingan Liga Super musim 2024 – 2025.
“Namun, Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2024 sebelum jam 5 petang terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan Lesen Kebangsaan,” katanya