Lif merupakan prasarana yang disediakan untuk kemudahan orang ramai di bangunan bertingkat lima dan ke atas. Namun, bagi mereka yang menetap di rumah pangsa, ada kalanya lif mengalami gangguan yang boleh menyulitkan urusan seharian seperti kerosakan atau penyelenggaraan mengejut.
Di TikTok, sebuah video tular tentang kemudahan lif di sebuah flat yang mempunyai ciri unik, sehingga mengelirukan pelawat. Lif tersebut hanya mempunyai akses ke aras berangka ganjil dan melangkau tingkat bernombor genap.
Menerusi video tersebut, kedengaran perbualan seorang penghantar makanan yang tercengang dengan keadaan itu:
“Aku jumpa satu lif ni, kau tengok butang dia. Apahal ada aras 3, 5, 7, 9, 11, 13 je. Kalau nak pergi tingkat 10 macam mana? Tengok lif sebelah pun sama, boleh pergi aras nombor ganjil je. Yang lif lagi satu baru boleh pergi semua aras macam biasa. Di sini semua sekali ada tiga lif. Kenapa kena ada konsep macam ni, sesiapa boleh tolong terangkan… pelik. Dah kena turun tangga setingkat untuk dapat nombor genap,” soal lelaki itu teruja.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya menjelaskan bahawa lif dengan konsep sebegini diaplikasikan di kawasan berpenduduk tinggi. Seorang juruteknik lif memberi penjelasan terperinci:
“Saya seorang juruteknik lif, biar saya jelaskan. Tujuan diadakan lif sebegini adalah untuk membantu melancarkan pergerakan orang turun naik ketika waktu puncak. Tidaklah sesak sampai terpaksa tunggu lama. Jadi dengan adanya pengasingan macam ni, orang yang tingkat ganjil tidak akan bercampur dengan aras lain. Tak perlu nak kongsi lif beramai-ramai, pembahagian yang sistematik. Satu manfaat kepada penduduk setempat.
“Tak semua tempat ada macam ni, biasanya boleh nampak dekat pangsapuri di tengah kota yang penduduknya terlampau ramai. Sebab tu ada yang terpinga-pinga kalau jumpa lif macam ni. Kalau main masuk je lif tanpa baca dulu papan tanda, mesti panik sebab ada sesetengah aras yang dah ‘hilang’,” kata warga maya.
Ini menunjukkan bahawa konsep lif dengan akses terpisah untuk tingkat ganjil dan genap adalah langkah strategik untuk menguruskan kesesakan dan melancarkan pergerakan penduduk di kawasan berpenduduk tinggi.