Rintihan sayu dan ratapan hiba banduan yang menghuni Penjara Wanita Kajang setiap kali menjelang 1 Syawal
bagaikan sudah lali di telinga kebanyakan warden yang bertugas ketika malam raya.
Biarpun enggan melayan emosi yang tidak sepatutnya mengganggu tuntutan dan perjalanan tugas,
sesekali alunan takbir yang bertingkah dengan tangisan banduan wanita berkenaan kadang kala turut mengundang kesyahduan di hati mereka.
Bagi Inspektor Penjara di Penjara Wanita Kajang, Wahida Mohd Yusoff @ Md Din, 35, pengalaman bertugas di penjara berkenaan selama 12 tahun menjadikan beliau semakin kuat dan lali dengan situasi malam raya.
Walaupun mendapat cuti raya tahun ini, pengalaman kali pertama bertugas di hari raya masih menjadi kenangan yang sukar dilupakan dan terus terpahat dalam ingatannya sehingga hari ini.
Tangisan meremang bulu roma
“Bayangkan ketika itu saya masih baharu dalam kerjaya dan tidak pernah membayangkan bagaimana keadaan banduan yang bersedih apabila terpaksa berhari raya di penjara.
“Meremang bulu roma apabila mendengar ada banduan yang menangis dan meraung dari bilik kurungan mereka tatkala alunan takbir bergema dari masjid berhampiran penjara ini.
“Kalau turutkan hati memang suasana itu sungguh meruntun perasaan tambahan pula ia adalah tahun pertama saya berhari raya sebagai seorang isteri. Tetapi demi tugas kami perlu sentiasa kelihatan tegas dan tidak nampak lemah dengan apa jua situasi,” katanya mengimbau kenangan pada tahun 2004 berkenaan.
Wahida berkata, kebanyakan mereka yang sukar mengawal perasaan adalah banduan muda dan baharu ditempatkan di penjara berkenaan selain pengalaman pertama berhari raya di dalam tahanan.
Katanya, tidak seperti tahanan lama yang mampu mengawal perasaan mereka, banduan baharu kebiasaannya mengalami tekanan perasaan teruk dan berterusan, malah lebih memburukkan keadaan adalah apabila melihat beberapa rakan tahanan lain dibebaskan beberapa hari menjelang Aidilfitri.
Diserang histeria
“Akibatnya ada banduan yang diserang histeria beberapa hari menjelang hari raya disebabkan gagal mengawal rasa sedih dan keadaan ini akan berjangkit dari satu sel ke sel lain.
“Kakitangan dilatih dan mempunyai ilmu untuk berhadapan dengan keadaan seperti itu,” katanya.
Berkongsi suasana banduan meraikan 1 Syawal, Wahida berkata, rutin kehidupan tetap sama seperti hari biasa kecuali pagi Aidilfitri dimulakan dengan solat sunat Hari Raya bersama wardar bertugas.
Selain itu semua banduan diberikan juadah istimewa yang menjadi kebiasaan ketika lebaran seperti nasi minyak, ketupat, nasi himpit bersama kuah kacang dan rendang.
Wahida berkata, sesekali beliau sendiri tersentuh dengan nasib banduan yang terpaksa berhari raya di dalam penjara terutama tahanan warga emas dan anak kecil serta bayi yang sepatutnya bergembira pada hari berkenaan.
“Sedih apabila mengenangkan si kecil menyambut dalam suasana yang berbeza,” katanya.
Hubungan rapat
Bagi Sarjan Luangan Intan Arak, 48, dari Tawau, Sabah, berjauhan dari keluarga dan terpaksa bertugas pada hari raya, tidak terasa apabila wujud hubungan rapat dengan banduan mengubat kerinduan pada kampung halaman.
“Pagi raya di sini sama seperti orang lain. Kita bersalaman dan bermaafan antara kakitangan serta banduan.
“Pada hari biasa banduan mengucapkan selamat pagi pada warden bertugas, pagi Syawal kedengaran gema ucapan selamat hari raya daripada semua penghuni di sini,” katanya.
Luangan Intan berkata, di pagi raya kadang kala menyaksikan beberapa banduan gagal mengawal dan menahan perasaan sedih kerana mengenangkan keluarga.
“Peranan kami menenangkan keadaan banduan. Kami sedih tapi perlu tidak menunjukkan kesedihan di hadapan mereka,” katanya.
INFO
Keluarga boleh melawat banduan selepas empat minggu masuk penjara
Peringkat kelayakan adalah mengikut tempoh hukuman
Peringkat 1 – kolar putih (hukuman singkat 6 bulan ke bawah) 4 minggu sekali
Peringkat 2 – kolar merah (hukuman 6 bulan ke atas) 4 minggu sekali
Peringkat 3 – kolar hijau (hukuman lama) 3 minggu sekali
Peringkat 4 – kolar biru (hukuman lama) 2 minggu sekali
Peringkat khas – sut biru (hukuman lama) seminggu sekali
Banduan akhir seminggu sekali
Banduan dagang seminggu sekali