Rakyat Sri Lanka bangkit buang Presiden korup

Rakyat Sri Lanka bangkit buang Presiden korup. Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, mengumumkan peletakan jawatannya semalam, beberapa jam selepas kediamannya diserbu sekumpulan penunjuk perasaan.
Kumpulan yang berang itu berhimpun dan menghambat pemimpin berkenaan dari kediamannya, ekoran kecewa kerana negara itu berdepan krisis ekonomi terburuk sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Ratusan ribu rakyat berkumpul di ibu negara Colombo sejak kelmarin untuk menuntut kerajaan bertanggungjawab kerana didakwa terbabit dalam salah urus kewangan negara yang turut menyebabkan kekurangan teruk makanan dan bahan api.
Selepas menyerbu pagar istana presiden, sekumpulan penunjuk perasaan berjalan melalui biliknya dengan beberapa orang lagi dilihat melompat ke dalam kolam renang di kediamannya.
Puluhan ribu penunjuk perasaan berkumpul di luar istana Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapakse, sehingga memaksanya melarikan diri bersama keluarga sebelum mengumumkan peletakan jawatan.
Penunjuk perasaan yang lain dilihat ketawa dan bersantai di bilik tidur mewah kediaman itu, dengan salah seorang daripada mereka mendakwa memegang seluar dalam Rajapaksa.
Pada masa sama, difahamkan pemimpin itu sudah menaiki kapal laut di pelabuhan Colombo dan dibawa ke perairan selatan pulau itu, di mana dia akhirnya akur kepada gesaan untuk meletakkan jawatan yang semakin lantang sejak beberapa bulan lalu.
“Bagi memastikan peralihan secara aman, presiden memaklumkan beliau akan berundur pada 13 Julai,” kata Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana, dalam satu kenyataan menerusi televisyen.
Rajapaksa terpaksa dikeluarkan dari kediamannya oleh sekumpulan tentera yang melepaskan tembakan ke udara bagi menghalang rempuhan orang ramai yang berkumpul di luar kediamannya.
Tidak lama selepas istana presiden diserbu, pejabat pemimpin itu yang terletak berdekatan kediamannya turut jatuh ke tangan penunjuk perasaan.
Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, mengadakan pertemuan dengan pemimpin politik dan memberitahu beliau sedia berundur untuk membuka jalan kepada kerajaan perpaduan.
Bagaimanapun, ia gagal menenangkan penunjuk perasaan yang turut menyerbu kediaman peribadi perdana menteri dan bertindak membakarnya malam tadi.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan orang ramai bersorak susulan kebakaran yang berlaku, sejurus selepas pihak keselamatan yang mengawal Wickremesinghe menyerang beberapa wartawan di luar rumah.
Pihak polis memaklumkan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran terbabit setakat ini dan Wickremesinghe serta keluarga tidak berada di kediamannya ketika kejadian.
Pasukan keselamatan cuba menyuraikan orang ramai yang menyerbu daerah pentadbiran Colombo, dengan berpuluh-puluh orang cedera akibat pertempuran yang berlaku.
Jurucakap hospital utama Colombo berkata, tiga mangsa sedang dirawat kerana luka akibat tembakan, bersama 36 individu lain yang mengalami kesukaran bernafas susulan terkena semburan gas pemedih mata.
Semalam, ribuan penduduk turun ke ibu negara untuk demonstrasi jalanan, didorong oleh krisis berterusan di negara itu, tanpa sebarang tindakan daripada pucuk pimpinan kerajaan untuk mengatasinya.
Menurut pegawai, ribuan penunjuk perasaan antikerajaan tidak mengendahkan perintah duduk di rumah, malah memaksa pihak berkuasa kereta api meneruskan operasi pengangkutan itu untuk membawa mereka ke Colombo bagi menyertai tunjuk perasaan itu.
BACA:
Penemuan mikroplastik dalam darah dan paru-paru manusia membimbangkan
Pengganti Proton Preve sedang dalam ujian, pengguna teruja
Muhyiddin kantoikan Hadi, perjanjian itu didraf oleh pemimpin Pas sendiri