PRN Melaka : Tak lengkap vaksin dilarang mengundi

PRN Melaka : Tak lengkap vaksin dilarang mengundi

Hanya pengundi yang lengkap divaksin akan dibenarkan mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani Salleh.

Katanya, SPR juga akan mencadangkan slot masa mengundi melalui sistem “seperti aplikasi MySejahtera”.

“Kita akan beri cadangan masa keluar mengundi melalui sistem kita seperti yang digunakan di aplikasi MySejahtera.

“Pengundi juga usah keluar mengundi serentak pada sebelah pagi. Kalau boleh, warga emas sebelah pagi dan tengah hari sikit untuk orang muda.

“SOP kita di pusat mengundi juga ketat. Syarat-syarat seperti dah lengkap dua dos vaksin, memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal. Justeru kita merayu agar semua pengundi lengkapkan vaksin dahulu…kita ada masa lagi,” katanya dipetik Bernama.

Beliau menggalakkan pengundi keluar mengundi berdasarkan slot masa dicadangkan bagi mengelakkan terlalu ramai orang berkumpul di pusat mengundi.

Katanya, garis panduan berkaitan Covid-19 akan berpandukan pandangan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan dan polis.

Beliau berkata, daftar pemilih terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis dan 106 pengundi tidak hadir (PTH) di luar negara.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada 4 Okt lalu, selepas empat ADUN – Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

COMMENTS