PRN Melaka : PN bertanding semua kerusi – Muhyiddin

PRN Melaka : PN bertanding semua kerusi – Muhyiddin

Perikatan Nasional (PN) dijangka akan bertanding di semua 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov depan.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin berkata beliau telah mengarahkan agar rundingan dalam kalangan parti di bawah PN, termasuk PAS dan Gerakan diadakan segera.

Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata, pihaknya sudah menjangka keputusan Umno yang enggan bekerjasama, namun mengambil pendekatan berhemah untuk menunggu Umno menyatakan pendirian atau keputusan sama ada sedia bekerjasama bagi mengelak pertembungan pada PRN nanti.

“Sekarang mereka (Umno) kata ‘no way’ dan itu fakta. Saya dah maklumkan di Melaka dah, kita bersedia untuk hadapi apa saja bentuk pertandingan, sama ada secara dua (penjuru), tiga atau empat, itu tidak menjadi masalah bagi kita.

“Itu sebab semalam saya gesa (supaya) segerakan rundingan antara parti dalam PN. Pada dasarnya mereka bersetuju 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Melaka, kita bahagikan mengikut situasi dan keadaan, dan diharapkan kita dapat capai kejayaan.

“Saya fikir besar kemungkinan kita bertanding di semua kerusi dan 28 kerusi dibahagikan antara parti yang saya sebutkan tadi,” katanya kepada pemberita selepas bertemu pemimpin tempatan peringkat DUN Gambir di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memaklumkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya.

Ketika ditanya sama ada PN mempunyai calon untuk Ketua Menteri, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata PN mempunyai ramai tokoh yang berkualiti yang layak memimpin.

Ditanya pandangannya jika PRN perlu ditangguhkan susulan pandemik Covid-19, Muhyiddin berkata ia tidak boleh ditangguhkan kerana ia melibatkan perlembagaan yang menetapkan bahawa pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah berbincang dan menetapkan tarikhnya, jadi saya harap SPR akan ambil maklum mengenai apa yang berlaku di PRN Sabah, dan tampilkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu bagi membendung dan mengawal penularan jangkitan.

“Ini boleh dilaksanakan dengan mengehadkan pergerakan orang ramai semasa berkempen, dan juga menggunakan media sosial atau platform dalam talian semasa pilihan raya,” kata Muhyiddin, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

COMMENTS