PRN Melaka : BERSATU tidak takut UMNO

PRN Melaka : BERSATU tidak takut UMNO

Bersatu tidak risau atau takut berdepan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, susulan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengulangi partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Razali Idris berkata, partinya bersedia dengan sebarang keputusan dibuat Umno dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRN Melaka pada bulan depan.

“Kita sedia juga untuk berdepan tiga penjuru. Jadi, tak ada masalah dalam politik. Tidak perlu risau dan takut bertanding dalam PRN Melaka.

“Kalau itu jadi keputusan muktamad, kita terima dan kita hadap,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata, partinya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN Melaka.

Beliau berkata, keputusan muktamad itu sekali lagi ditegaskan sebagaimana dibuat semua perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno lalu.

Dalam pada itu, Razali berkata, PN sentiasa terbuka dan cuba kerjasama dengan Umno bagi mengelakkan parti Melayu berpecah belah.

“Pelik, di peringkat pusat kerjasama, tetapi di Melaka tak kerjasama. Apa akan jadi? Di situ nampak perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu.”

Katanya, jika PN berdepan tiga penjuru di Melaka, iaitu pertembungan dengan BN dan Pakatan Harapan (PH), peluang untuk menang adalah 50-50.

Bagaimanapun, katanya, jika BN bekerjasama dengan PN, peluang untuk menang majoriti 2/3 agak mudah.

“Tiada siapa dapat majoriti, tetapi akan usaha kerja keras supaya dapat lebih dan yakin.

“Tetapi (lihat), rakyat mula sedar yang mana jatuhkan kerajaan di Melaka adalah kepimpinan Umno sendiri,” katanya.

COMMENTS