Polis rampas kereta bekas ADUN

Polis rampas kereta bekas ADUN

Polis merampas sebuah kenderaan rasmi kerajaan negeri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee selepas bekas Exco itu enggan memulangkannya, sejak minggu lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam dirampas oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.

Datuk Abdul Majid Mohd. Ali – Ketua Polis Melaka

Ujarnya, tindakan dilaksanakan selepas pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengenai keengganan Norhizam untuk memulangkan kenderaan terbabit.

“Susulan menerima laporan itu, pegawai dan anggota daripada JSJK IPK Melaka bertindak merampas kenderaan tersebut di sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.

“Mengikut laporan dibuat, Norhizam didakwa enggan memulangkan kenderaan tersebut, walaupun satu surat arahan untuk berbuat demikian telah dikeluarkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegawai khasnya,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, Norhizam yang popular dengan gelaran YB (yang berhormat) viral hanya akan memulangkan semula semua aset kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara sama.

Norhizam Hassan Baktee



Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan, tetapi beliau berasa hairan kerana hanya tiga Exco kerajaan negeri termasuk dirinya diarahkan berbuat demikian

Tambah Abdul Majid, rampasan dilakukan selepas polis mendapatkan waran geledah daripada Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada hari sama laporan diterima bagi mengesan dan merampas barang kes.

Jelasnya, dalam pemeriksaan tersebut, pihaknya turut merampas satu kad pembayaran elektronik Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Norhizam.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sehingga kini pihaknya telah memanggil lima saksi yang merupakan kakitangan SUK Melaka bagi tujuan rakaman percakapan dan akan memanggil bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan keterangan.

“Polis akan memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan di dalam kes ini termasuk Norhizam.

“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana kereta berkenaan boleh ditempatkan di kondominum terbabit serta kaitannya dengan pemilik lot tempat kereta berkenaan,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

COMMENTS