Polis Johor enggan serah nama pegawai polis rasuah ke Bukit Aman, mahu dakwa ke Mahkamah

Polis Johor enggan serah nama pegawai polis rasuah ke Bukit Aman, mahu dakwa ke Mahkamah

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, tidak akan menyerahkan senarai nama pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan “Geng Nicky” kepada Bukit Aman, sebaliknya kontinjen negeri itu akan mengambil tindakan mengikut seksyen jenayah terancang.

Ayob berkata, tidak ada guna beliau mendedahkan senarai nama terbabit, sebaliknya memberi tumpuan untuk melengkapkan kertas siasatan dan menangkap semua pegawai dan anggota yang disenaraikan itu.

“Saya tidak akan serah pada JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) untuk ambil tindakan, saya hendak ambil tindakan bawah jenayah terancang, bagi saya itu yang paling tepat, mudah, paling tegas untuk kita ambil tindakan.

“Tetapi, saya kena pastikan cukup bukti dan bagi masa sedikit, itulah soalan yang sentiasa ditanya di sini (Johor) dan Bukit Aman, bila senarai itu hendak dikeluarkan.

“Saya tidak akan keluarkan, tidak guna saya keluarkan untuk berkongsi, yang pasti bila siasatan lengkap kita akan tangkap, tunggu dan lihat,” katanya pada sidang media.

Semalam, Pengarah JIPS, Zamri Yahya, dilaporkan menunggu senarai nama pegawai dan anggota polis didakwa bersekongkol dengan “Geng Nicky” diketuai ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee.

Katanya, Bukit Aman memerlukan senarai itu daripada polis Johor sebelum mengambil tindakan susulan termasuk merakam keterangan dan mengambil tindakan jika didapati menyalahi tata kelakuan serta disiplin.

Ayob berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor sudah menangkap dan menuduh di mahkamah seramai 24 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguatkuasa dalam Ops Benteng yang dilaksanakan sebelum ini.

“Inilah format yang akan digunakan untuk kes Datuk Seri Nicky, keutamaan untuk tindakan tatatertib adalah pilihan terakhir, sekali kita akan buat dan kami (polis Johor) masih menjalankan dan mengemaskini kertas siasatan, bila sudah lengkap nanti kita akan tangkap,” katanya.

COMMENTS