Polis arah cawangan baru Uniqlo ditutup seketika

Pembukaan Uniqlo di Damansara Avenue, Petaling Jaya di Selangor pagi ini menarik kehadiran sejumlah besar pengunjung.

Namun, tidak lama selepas pintu dibuka, pihak berkuasa telah meminta agar kedai tersebut menghentikan operasi selama beberapa jam untuk membersihkan kawasan tersebut dan meningkatkan kawalan orang ramai.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal, orang ramai mula berkumpul seawal jam 8.30 pagi walaupun pintu hanya dibuka pada pukul 10 pagi.

“Pengurusan memang mematuhi peraturan untuk mencegah penyebaran Covid-19 dengan terhadkan 50 pelanggan pada satu-satu.

“Namun, tidak ada penyelarasan bagi mereka yang berbaris di luar. Terdapat lebih daripada seratus orang di luar,” katanya kepada Malaysiakini.

Oleh itu, anggota polis dan Kementerian Kesihatan mengarahkan kedai itu ditutup untuk menangani orang ramai yang beratur di luar bangunan.

“Mereka diizinkan untuk dibuka semula pada jam 4 petang. Sekarang, ada barisan pengunjung yang lebih wajar di luar dan kami di sana untuk memantau keadaan,” kata Nik Ezanee.

Uniqlo adalah jenama pakaian Jepun yang sangat popular yang sebelum ini hanya beroperasi di pusat beli belah di Malaysia.

Cawangan terbaru mereka di Damansara Avenue itu mengambil konsep premis tepi jalan dan dilancarkan sempena ulang tahun ke-10 syarikat itu di Malaysia.

Pengunjung yang hadir di cawangan baru itu boleh menuntut beg barang percuma dan membeli barang-barang yang tersedia secara eksklusif semasa pelancaran, termasuk kolobrasi UTme! dan Mamee.

Menurut Oriental Daily, orang ramai di luar bangunan itu dalam keadaan teratur dan pihak berkuasa memantau keadaan dengan teliti.

Sumber:https://www.malaysiakini.com/news/555768

COMMENTS

Wordpress (0)