PM terharu penjawat awam bersama kerajaan Perikatan Nasional

PM terharu penjawat awam bersama kerajaan Perikatan Nasional

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat menghargai dan menyambut baik solidariti penjawat awam yang akan turut serta memberi sumbangan kepada negara bagi memerangi Covid-19 melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA).

Solidariti penjawat awam itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, semalam.

Sumbangan oleh penjawat awam tidak termasuk petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan Gred 1 hingga 28 ini akan dimasukkan ke Akaun Amanah Bencana COVID-19.

“Ini membuktikan kebersamaan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab bersama Kerajaan memerangi pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.

Menurut Perdana Menteri, solidariti ini juga adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para ‘frontliners’ yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi kita semua daripada jangkitan pandemik Covid-19.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik Covid-19.

“Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi Covid-19 ini akan terus diberkati Allah SWT. Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

COMMENTS