PM Australia mohon maaf insiden perkosa di pejabat Parlimen

PM Australia mohon maaf insiden perkosa di pejabat Parlimen

PERDANA Menteri Australia Scott Morrison pada Selasa memohon maaf kepada seorang wanita yang mendakwa dirinya diperkosa seorang rakan sekerja yang dirahsiakan identitinya.

Morrison berjanji akan melakukan siasatan menyeluruh, termasuk berhubung budaya di tempat kerja melibatkan kakitangan kerajaan, selepas insiden yang didakwa berlaku di Parlimen negara itu.

“Ia tidak sepatutnya terjadi, dan saya minta maaf,” kata Morrison kepada wartawan di Canberra, menurut laporan Reuters.

“Saya mahu pastikan mana-mana wanita muda yang bekerja di tempat ini, berada dalam keadaan selamat sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, beliau telah melantik Jabatan Perdana Menteri dan pegawai Kabinet Stephanie Foster untuk mengkaji semula proses menangani aduan di tempat kerja sementara seorang lagi Ahli Parlimen ditugaskan menyiasat budaya tempat kerja.

Wanita tersebut mendakwa, dia diperkosa di pejabat Menteri Pertahanan Linda Reynolds pada Mac 2019 oleh seseorang yang juga bekerja untuk parti Liberal.

Dia memaklumkan kepada media tempatan, dia melaporkan perkara itu kepada polis pada awal April 2019, tetapi memutuskan untuk tidak membuat aduan formal kerana bimbang kehilangan kerjanya.

Polis Canberra mengesahkan pihaknya bercakap dengan pengadu pada April 2019 tetapi wanita itu memilih untuk tidak membuat aduan rasmi.

Wanita itu mengatakan, dia memberitahu pegawai kanan pejabat Reynolds mengenai kejadian tersebut.

Reynolds pada Isnin mengesahkan dimaklumkan mengenai aduan itu tahun lalu tetapi menafikan bahawa wanita itu ditekan supaya tidak membuat laporan polis.

Tuduhan tersebut meningkatkan tekanan ke atas Morrison selepas beberapa tuduhan mengenai tingkah laku tidak wajar terhadap wanita dalam kalangan pemimpin parti Liberal dilaporkan sebelum ini.

Sumber:https://www.astroawani.com/berita-dunia/pm-australia-mohon-maaf-insiden-perkosa-di-pejabat-parlimen-283171

COMMENTS