Pimpinan BERSATU gesa SPR halang ahli politik luar kempen di Melaka

Pimpinan BERSATU gesa SPR halang ahli politik luar kempen di Melaka

Seorang Ahli Parlimen dari Melaka berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak wajar membenarkan ahli politik dan penyokong parti dari luar negeri itu berkempen untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Ahli Parlimen Alor Gajah, Redzuan Md Yusof bimbang jika petugas parti dari negeri lain dibenarkan berkumpul dalam jumlah yang besar, ia mungkin mencetuskan gelombang baharu jangkitan Covid-19 seperti yang berlaku selepas PRN Sabah tahun lalu.

Pemimpin Bersatu itu berkata, hanya ahli politik dan ahli akar umbi tempatan dalam negeri itu yang boleh dibenarkan berkempen.

“Saya berharap SPR boleh mengetatkan SOP berhubung berkempen dan tidak membenarkan orang dari luar Melaka datang berkempen. Kita tidak patut lupa apa yang berlaku di Sabah.”

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dari DAP berkata, SPR patut memberi kebenaran khas untuk pengundi Melaka yang berada di Singapura, Sabah dan Sarawak menunaikan tanggungjawab mereka melalui undi pos.

Katanya, ramai yang gagal mengundi pada PRN Sabah kerana mereka tinggal di Semenanjung atau tempat lain.

“Walaupun saya masih percaya ia bukan masa baik untuk mengadakan pilihan raya kerana wabak Covid-19 masih bersama kita, kita tiada pilihan kecuali melaksanakannya kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dibubarkan.”

Hari pengundian PRN di Melaka ditetapkan pada 20 Nov dan penamaan calon pada 8 Nov, manakala pengundian awal pada 16 Nov.

Pada 5 Okt lalu, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan DUN selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali yang menyebabkan kerajaan negerinya kehilangan majoriti.

COMMENTS