Pesawat bawa pemimpin negara hilang

Sebuah pesawat tentera yang membawa Naib Presiden Malawi, Saulos Chilima dilaporkan hilang selepas ia gagal mendarat pada pagi Isnin, lapor AFP.

Pihak kerajaan negara itu berkata usaha mencari dan menyelamat kini sedang giat dijalankan selepas pesawat terbabit tidak dapat dihubungi.

“Segala usaha oleh pihak berkuasa penerbangan untuk menghubungi pesawat berkenaan semenjak ia hilang dari radar gagal setakat ini,” lapor kerajaannya dalam satu kenyataan.

Pesawat bawa pemimpin negara hilang

 

Pesawat yang berlepas pada jam 9.00 pagi (0700 GMT) membawa Chilima, 51 tahun, bersama sembilan lagi yang lain.

Kumpulan tersebut berlepas dari ibu negara, Lilongwe ke bandar Muzuzu sejauh 370 km bagi menghadiri pengebumian seorang bekas menteri kabinet.

Menurut laporan, Presiden, Lazarus Chakwera memerintahkan tentera negara dan serantau mengadakan operasi pencarian dan menyelamat serta-merta bagi mengesan kedudukan pesawat berkenaan.

Chakwera yang dijangka akan ke Bahamas bagi tujuan kerja telah membatalkan perjalanannya susulan kejadian ini.

Beliau dijadualkan untuk menyampaikan ucapan kepada rakyat di stesen televisyen pada jam 11 malam waktu tempatan.

Ketika ditemu bual oleh stesen televisyen Afrika Selatan pada petang Isnin, Menteri Perhubungan, Moses Kunkuyu berkata kerajaan sedang menunggu maklumat lanjut berkenaan kejadian tersebut dari pihak tentera.

Menurut laporan media tempatan, tentera dikatakan sedang mencari pesawat yang hilang itu dengan berjalan kaki di dalam hutan Chikangawa di selatan Mzuzu.

Dalam pada itu, terdapat laporan yang mendakwa saksi ternampak sebuah pesawat terhempas di hutan berkenaan pada awal pagi Isnin.

Pada tahun 2022, Chilima hilang kuasanya selepas ditangkap dan didakwa dengan skandal rasuah melibatkan seorang ahli perniagaan British-Malawi.

Pada bulan lalu, sebuah mahkamah di Malawi menggugurkan tuduhan berkenaan.

Baca juga: Akhirnya Erra Fazira bertemu jodoh