Permohonan Jonathan Laidlaw dalam rayuan akhir SRC ditolak

Permohonan Jonathan Laidlaw dalam rayuan akhir SRC ditolak

Permohonan Jonathan Laidlaw dalam rayuan akhir SRC ditolak. Pejabat Peguam Negara menolak permohonan peguam kanan (QC), Jonathan Laidlaw, untuk diterima masuk bagi berhujah dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul, dalam afidavit bantahannya, berkata Laidlaw tidak mempunyai kelayakan istimewa dan pengalaman langsung yang relevan terhadap penafsiran undang-undang dan isu dalam rayuan.

Katanya, Laidlaw juga tidak mempunyai pengalaman mengendalikan perbicaraan jenayah atau rayuan berhubung Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 209, Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA).

“Pemohon tidak ada kelayakan Bahasa Melayu yang diperlukan di bawah subseksyen 11(2) Akta 166 untuk berjaya dalam permohonan ad hoc mengikut Seksyen 18 Akta 166.

“Pemohon juga bukan seorang berkelayakan untuk diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara ad hoc di bawah Akta 166,” katanya.

Permohonan Jonathan Laidlaw dalam rayuan akhir SRC ditolak

Tambahnya, fakta bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengendalikan perbicaraan perayu (Najib) dan rayuan di Mahkamah Rayuan adalah satu kenyataan yang jelas bahawa Muhammad Shafee memiliki kelayakan istimewa dan pengalaman untuk mengendalikan rayuan berkaitan dengan pertuduhan-pertuduhan itu di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, permohonan di Mahkamah Persekutuan bukan pertuduhan baharu tetapi sama yang dikendalikan Muhammad Shafee di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

“Oleh itu, permohonan itu adalah tidak bermerit dan hendaklah ditolak secara terus,” katanya.

Permohonan untuk menjadikan Laidlaw sebagai peguam ad hoc Najib ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Khamis ini.

Pada 31 Mei lalu, Laidlaw memfailkan permohonan supaya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.

Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.

Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang sangat kompleks dan membabitkan isu serta persoalan perundangan baharu bukan saja dalam bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkannya (Jho Low) menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

BACA:

Jawatan kosong di MARDI seluruh negara, ini cara mohon

Ramai salah buat, ini rupanya cara betul pam tayar kereta

Selepas kejadian padang memalukan, PSM jelas punca padang SNBJ jadi macam sawah