Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional “tumbuhan liar yang mesti dihapuskan”-Haji Hadi

Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional “tumbuhan liar yang mesti dihapuskan”-Haji Hadi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, hari ini mengisytiharkan cadangan membentuk pakatan selain Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional “tumbuhan liar yang mesti dihapuskan” atau “makhluk perosak yang wajib dimusnahkan”, pengisytiharan yang dijangka akan menetapkan sikap lebih 1 juta ahli parti Islam itu terhadap pihak lain.

Menggambarkan MN dan PN seperti “benih” yang baru tumbuh dengan subur, Hadi menyifatkan gabungan itulah “acuan Islam” yang ingin PAS kembalikan dan acuan “sempit” lain “haram” dipilih.

“Acuan perpaduan inilah yang boleh menegakkan umat yang selamat di dunia dan akhirat,” katanya dalam artikel Minda Presiden PAS bertajuk Wajib Mempertahankan Perpaduan Kita di Facebook.

“Maka adalah haram kita memilih acuan akal manusia yang sempit sekadar menyelamatkan diri masing-masing, puak masing-masing, dan kedudukan masing-masing, bukannya berwadahkan umat yang besar dan wawasan yang jauh daripada dunia sehingga akhirat.”

Muafakat Nasional terdiri daripada PAS, UMNO dan PPBM, manakala Perikatan Nasional dianggotai oleh PAS, PPBM, dan Gabungan Bersatu Sabah.

Sambil memetik ayat 103 dari surah Ali-Imran, Hadi berkata ayat yang menyeru orang Islam berpegang kepada agama dan jangan bercerai-berai itu “acuan Allah” untuk mewujudkan perpaduan umat yang sebenar “dan berpijak di alam kenyataan fitrah manusia”.

Pendekatan perpaduan lain, katanya, terbukti gagal ‘separuh jalan’, kerana dicipta mengikut teori ilmuan manusia Barat dan Timur yang ada kelemahan.

“Malangnya inilah yang masih menjadi rujukan banyak penulisan dan kenyataan lisan, dengan berbagai jenama terkini seperti penjajaran, konsensus, dan lain-lain,” katanya.

Sebaliknya, PAS menggunakan acuan Islam, yang berteraskan iman atau akidah bagi penganut Islam dan keadilan untuk semua, termasuk bukan Islam, untuk menyuburkan perpaduan.

“Inilah konsep yang kami realisasikan dalam konteks Malaysia bermasyarakat majmuk, bersama konsep Islam agama rasmi persekutuan yang telah wujud dalam Perlembagaan dan konsep hak kebebasan beragama kepada berbagai anutan yang wujud dalam masyarakat majmuk.”

Dalam aspek perpaduan, katanya, PAS pada mulanya mengambil pendekatan untuk menyatukan umat Islam menerusi MN, dan kemudian diikuti dengan PN yang menggabungkan parti politik di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak untuk membentuk kerajaan.

“Berasaskan piagam yang dimeteraikan secara persefahaman dahulu sebelum diperkemaskan secara berperingkat, berasaskan konsep Islam agama rasmi persekutuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

“Maka kita menolak sebarang usaha untuk membentuk pakatan baharu dengan berbagai jenama yang dicadangkan,” tambahnya. “Inilah acuan Islam yang ingin dikembalikan semula setelah dilupakan.”

Hadi mengingatkan “acuan Islam” pernah berjaya dilaksanakan dalam negara besar yang beratus kali ganda daripada Malaysia selama lebih daripada 13 abad, yang jatuh apabila ia meninggalkan acuan itu.

“Perpaduan ini adalah fardu kifayah kewajipan secara umum dan menjadi fardu ‘ain kepada pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya.

“Justeru iltizam kami (PAS) adalah untuk memperkukuhkan perpaduan dan persaudaraan sesama kita, serta memperkasakan MN dan PN yang kita bina secara bersama

Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/02/pn-mn-acuan-islam-haram-pilih-acuan-sempit/