Pengisytiharan darurat langkah tepat

Pengisytiharan darurat terhadap Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK) langkah tepat membendung penularan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setiap cadangan itu terlebih dahulu diperincikan dan dibincang di peringkat kerajaan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Katanya, keputusan itu pasti ada hikmah berpaksikan kepada kepentingan rakyat, memulihara kesihatan dan kestabilan politik.

“Sebagai rakyat kita perlu taat kepada pemerintah dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi kesejahteraan negara,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pelancaran Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) di Kementerian Alam Sekitar Dan Air (KASA) di sini hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bagi mengelak pilihan raya kecil (PRK).

PRK Parlimen Gerik dan DUN Bugaya yang dijadualkan diadakan serentak pada 16 Januari depan, dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh akan ditentukan kelak.

Kedua-dua kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya, Ahli Parlimen Gerik, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Allahyarhamah Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Dalam perkembangan lain Zulkifli berkata, pihaknya bersama Kementerian Pengajian Tinggi mengkaji dengan serius cadangan menaik taraf Darul Quran milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada Universiti Al-Quran.

Katanya, semalam beliau mengadakan perbincangan bersama Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkenaan usul penubuhan universiti berkenaan.

“Kita akan memperhalusi cadangan ini supaya ia menjadi lebih baik dan berharap semua pihak mendoakan cadangan ini berjaya” katanya.

Usul penubuhan Universiti Al-Quran itu dibangkitkan ahli Parlimen ketika penggulungan Belanjawan 2021 KPT baru-baru ini.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/654145/pengisytiharan-darurat-langkah-tepat-metrotv

COMMENTS

Wordpress (0)