Pengarah Filem terkenal meninggal dunia dalam kemalangan

Pengarah dan pengkritik filem serta budaya terkemuka, Mansor Puteh, 70, disahkan telah meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Alam Damai, Cheras, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10.10 pagi di mana kereta Proton Iswara yang dipandu oleh mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan. “Akibat pelanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.

Menurut Sarifudin, kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pengarah dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop, mengungkapkan duka cita melalui akaun Facebooknya, menyifatkan kematian Mansor Puteh sebagai satu kerugian besar dalam dunia seni.

“Innalillahi wa inna ilaihi rajioun, saudara Mansor Puteh telah meninggal dunia pagi tadi akibat kemalangan. Satu lagi kehilangan buat warga seni. Al Fatihah,” katanya.

Berita duka ini juga dikongsikan oleh anak saudara Allahyarham, Adeed Adillah Abdullah, melalui akaun Facebooknya.

“Salam semua, bagi yang mengenali uncle saya Mansor Puteh, beliau telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Jenazah sekarang berada di HUKM (Hospital Canselor Tuanku Muhriz) bagi tujuan bedah siasat dan akan diuruskan di sana.

“Jenazah akan dibawa ke Melaka untuk dikebumikan lewat petang nanti setelah selesai semua.

“Mohon doakan uncle saya Mansor Puteh,” tulis Adeed Adillah.

Mansor Puteh mendapat pendidikan awal dalam bidang komunikasi massa di Institut Teknologi Mara (ITM) dan pernah menjadi wartawan sebelum menjalani pengajian dalam Master of Fine Arts in Film Directing di Universiti Columbia pada tahun 1978.

Allahyarham telah mengarahkan filem seperti “Seman” pada tahun 1988, serta menghasilkan dokumentari 48 minit mengenai Tunku Abdul Rahman yang berjudul “Residency Years” atau “Bertahun di Residensi”.

BACA: Ini logik kenapa air mineral Evian sangat mahal