Peminat durian Ulu Cheka jangan tertipu

Peminat durian Ulu Cheka jangan tertipu

Peminat durian Ulu Cheka jangan tertipu. Penggemar durian Ulu Cheka di sini, diingatkan tidak terpedaya dengan taktik segelintir peniaga yang mendakwa menjual raja buah itu dari kampung tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik kebun durian Kampung Ulu Cheka, Abdul Karim Turiman, 66, berkata, taktik itu didakwa digunakan peniaga terlibat bagi melariskan jualan buah durian mereka.

Katanya, perbuatan itu tidak wajar kerana secara tidak langsung ia mengelirukan pembeli.

“Sebagai contoh, peniaga memberitahu mereka menjual durian dari sini (Ulu Cheka) tetapi sebenarnya durian yang dijual diambil dari Tangkak, Johor.

“Pembeli tidak tahu dan mereka tertarik membeli kerana tahu durian Jerantut terutama dari Ulu Cheka mempunyai rasa yang unik.

Peminat durian Ulu Cheka jangan tertipu

“Namun apabila sudah membeli dan mencuba, mereka melahirkan rasa kecewa kerana durian tersebut tidak seperti yang diharapkan,” katanya di sini semalam.

Abdul Karim berkata, penipuan terbabit memberi keuntungan pada masa singkat, namun ia memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang.

“Bila pelanggan yang membeli tahu mereka sudah tertipu, mereka serik untuk membeli durian dari peniaga terbabit dan ia merugikan peniaga itu,” katanya.

Menurutnya, durian kampung itu hanya dijual pada peraih tertentu yang menjualkannya di pasaran pada harga tidak kurang RM8 sekilogram apabila tiba musim durian.

“Hendak mengenali sama ada durian itu benar-benar dari Kampung Ulu Cheka, pembeli kena tahu adakah ketika itu adalah musim durian di kampung ini.

“Selain itu, durian yang diambil dari kampung ini tidak akan dijual kurang dari RM8 kerana peraih mengambil durian dari pekebun sudah pada harga RM5 sekilogram. Jika murah dari itu, ia bukanlah jenis durian dari kampung ini,” katanya.

Menurutnya lagi, lebih selamat jika pembeli mencari durian dari pekebun durian sendiri selain dari peniaga yang dipercayai sahaja.

“Jika beli secara dalam talian, pastikan peniaga terbabit dikenali sudah berniaga durian dari kampung ini sejak sekian lama selain peniaga tersebut memiliki kebun durian mereka sendiri,” katanya.

Bercerita lanjut, Abdul Karim yang lebih dikenali sebagai Pak Embong mengakui namanya pernah digunakan peniaga luar untuk menarik pembeli membeli durian mereka.

“Saya dimaklumkan ada peniaga dari Temerloh yang bertindak ‘menjual’ nama saya dengan mengatakan durian yang dijual diambil dari kebun Pak Embung sedangkan ia adalah durian dari luar.

“Perkara ini dimaklumkan oleh pembeli yang mengenali saya yang tertipu kerana menyangka durian dijual adalah dari kebun saya namun apabila dicuba rasanya berbeza.

“Saya rasa kecewa dengan tindakan yang dilakukan peniaga itu namun tiada tindakan boleh diambil. Saya cuma berharap agar perkara ini tidak berulang dan pembeli lebih berhati-hati,” katanya.

BACA:

Pengeluaran Khas KWSP dibenarkan untuk kegunaan peribadi

Shuib beri gambaran calon isteri yang diminatinya

Duit tak laku di pasar ini, kena guna buluh untuk bayar