Pelanggan Bank Rakyat ramai jadi jutawan

Bank Rakyat hari ini mengumumkan 17 pemenang hadiah utama termasuk kereta, emas dan wang tunai dalam empat kempen yang bermula pada penghujung 2023 sehingga Jun 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman, berkata empat kempen itu terdiri daripada kempen Tulus Ikhlas, Penuhi Impian, Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dan Emas 2 Kilo.

“Keempat-empat kempen ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah melebihi RM1.3 juta kepada 415 orang pemenang yang juga merupakan pelanggan produk serta perkhidmatan Bank Rakyat.

“Sejak tujuh dekad yang lalu, Bank Rakyat sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan jalinan antara bank dengan pelanggan menerusi nilai tambah baharu serta ganjaran istimewa menerusi kempen yang dianjurkan khusus buat pelanggan,” katanya semasa majlis penyampaian hadiah kempen Bank Rakyat di sini, hari ini.

Mohammad Hanis berkata, inisiatif ini juga adalah bagi menghargai kesetiaan pelanggan yang terus menyokong produk dan perkhidmatan Bank Rakyat saban tahun.

“Kempen ini juga melambangkan komitmen Bank Rakyat sebagai institusi perbankan yang sentiasa mengutamakan pelanggan memerlukan dan memainkan peranan untuk mencapai impian mereka.

“Sokongan padu serta penglibatan pelanggan dalam setiap kempen yang dianjurkan oleh Bank Rakyat saban tahun merupakan antara pembakar semangat dalam usaha mewujudkan produk serta perkhidmatan perbankan yang bukan sahaja berkualiti, malah memberi nilai tambah dan manfaat kepada pelanggan setia kami,” katanya.

Sempena sambutan Ramadan dan Syawal yang lalu, Bank Rakyat telah menganjurkan kempen Tulus Ikhlas bermula 12 Mac hingga 31 Mei 2024 yang mana pelanggan berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan dengan hadiah keseluruhan berjumlah lebih RM400,000.

Pemenang tempat pertama kempen itu, Siti Sarah Sayip membawa pulang Proton X90, manakala Che Shariful Huzir Che Saari dinobat pemenang tempat kedua Proton X70 dan Muhammad Farid Farhan Fazlee pula memenangi Proton X50.

Bank Rakyat juga mengumumkan pemenang bagi Cabutan Setengah Tahun Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dengan hadiah utama bernilai sebanyak RM100,000 yang dimenangi oleh Anuar Abdul Ghani.

Sejak produk pelaburan itu diperkenalkan pada Julai 2022, seramai 2,961 pemenang terpilih merangkumi empat pemenang bagi hadiah berjumlah RM100,000 dan seorang pemenang RM1 juta.

Baca : Atlet Israel kena gantung beraksi di Olimpik?