Pelaburan emas patuh syariah terbesar akhirnya bertukar jadi scam

Pelaburan emas patuh syariah terbesar akhirnya bertukar jadi scam

Pelaburan emas patuh syariah terbesar akhirnya bertukar jadi scam. Sebuah syarikat yang sah serta mempunyai nama dan reputasi yang kukuh, termasuk mendakwa sebagai patuh syariah .

Syarikat tersebut pernah disokong oleh pemimpin, ahli politik dan selebriti juga masih lagi tidak boleh dijadikan jaminan ianya sebuah syarikat yang benar-benar telus dan jujur.

Satu contoh yang boleh dijadikan panduan ialah kisah Genneva Malaysia Sdn Bhd (GMSB) atau Genneva Gold iaitu ‘scam’ pelaburan emas patuh syariah terbesar di Malaysia yang pernah terbongkar sebelum ini.

Perkongsian yang dibuat oleh Dr. Abdul Rahman A Shukor di akaun Facebook Abdel Rahmanov ini diharap dapat dijadikan pengajaran dan iktibar agar orang ramai lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa ‘scam’ pelaburan emas di Malaysia.

Scam pelaburan emas terbesar di Malaysia ialah Genneva Gold yang melibatkan 35 ribu orang pelabur. Mengapa orang ramai terjebak dengan scam emas ini?

Pelaburan emas patuh syariah terbesar akhirnya bertukar jadi scam

Genneva Gold ini adalah brand bagi sebuah syarikat perniagaan menjual emas yang ditubuhkan sejak tahun 2002. Syarikat ini mendakwa mendapat pengiktirafan “patuh syariah”. Mereka sebut dalam profil syarikat, “The one and only gold company that is shariah compliant”.

Ayat ini sebijik macam tagline kedai mamak Syed Bistro. “The one and only Bhukhara Briyani”. Amma!

Genneva Gold mempunyai 11 buah pejabat di Malaysia termasuk wakil perniagaan di China, Indonesia, Filipina dan Singapura. Keadaan Ini menggambarkan Genneva Gold sebuah perniagaan yang kukuh.

Genneva Gold mempunyai seorang pengarah daripada orang Melayu Muslim, Ahmad Khairuddin Ilias dan seorang daripada kerabat Diraja Pahang.

Genneva Gold menawarkan pelaburan emas menarik iaitu menjual emas kepada pelanggan pada harga premium 29%-30% daripada harga pasaran tetapi pelanggan mendapat ‘hibah’ (hadiah) 1.5% pada setiap bulan. Selepas kontrak 6 bulan, pelanggan boleh menyimpan emas atau menjualnya semula kepada Genneva Gold pada harga belian asal atau menjual kepada pihak ketiga.

Sekali pandang pelaburan emas Genneva Gold amat berbaloi! Hibah sebanyak 18% setahun. Emas fizikal dapat, hibah pun dapat, patuh syariah pula. Warren Buffet mesti terkejut!
Genneva Malaysia dilancarkan secara rasmi pada tahun 2010 oleh Tun Mahathir. Mungkin Tun Mahathir dipergunakan dalam hal ini.

Beliau antara tokoh besar yang mendukung penggunaan emas. Beliau menyebut dalam ucapannya:

“Wang (mata wang) hanyalah sehelai kertas yang digunakan untuk mewakili nilai tertentu tetapi bukan nilai sebenarnya, namun emas dapat mewakili nilai sebenarnya kerana itu adalah logam berharga di seluruh dunia.”

Masa berlalu dan dilaporkan seramai 8 ribu pelanggan yang telah membeli 4 ribu kg emas masih belum menerima emas mereka. Genneva Malaysia berhutang sebanyak RM80 juta.

Mengikut kertas siasatan, Genneva Gold beroperasi dengan menanggung liabiliti (tanggungan) 10 kali ganda lebih besar berbanding aset yang dimilikinya. Bank negara Malaysia menyebut:

“Initial forensic accounting has uncovered considerable losses being experienced by the company in 2012 and the company has liabilities exceeding 10 times its assets.”

Pada 1 Oktober 2012, Genneva Gold diserbu oleh pihak berkuasa Malaysia dan Singapura atas kesalahan pengambilan deposit secara haram, pengubahan wang haram dan sebagainya.

Sebelum peristiwa itu, penasihat-penasihat Syariah telah menarik diri daripada Genneva Gold. Syarikat ini menggunakan label “patuh Syariah” bagi mengkaburi operasi scam mereka.

Jika ada penasihat Syariah tiba-tiba menarik diri maka berhati-hatilah. Pokok tidak akan bergoyang jika tidak ditiup angin.

Semasa serbuan, Bank Negara Malaysia menyita aset Genneva Gold iaitu RM99.8 juta wang tunai dan 126kg emas untuk siasatan lanjut.

Perbicaraan Genneva Malaysia amat panjang. Pada bulan Ogos 2020, Mahkamah Tinggi mendapati Genneva Malaysia bersalah dan didenda RM450 juta, 8 orang individu dijatuhkan hukuman penjara 4 hingga 9 tahun dan denda RM1 juta dan RM4 juta setiap seorang.

Namun pelabur-pelabur Genneva Gold tidak mendapat semula wang mereka dan mereka perlu melalui proses undang-undang yang panjang. Sebab itu, mangsa scam keberatan untuk melaporkan skim pelaburan yang diragui supaya aset syarikat tidak dibekukan.

Kesimpulannya, syarikat perniagaan yang sah menjual emas, mendakwa patuh syariah dan mempunyai nama besar tidak semestinya bukan scam. Duit tak dapat, emas tak dapat, habuk pun tak dapat. Amma appa!!

Jika sesuatu pelaburan ada bau-bau scam maka cepat-cepat tarik diri sebelum nasi menjadi basi. Sejarah tidak menipu.

Pengalaman mengajar kita menjadi lebih matang dan dewasa. Salam hormat.
Dr. Abdel Rahmanov

BACA:

Dihalau tuan rumah, akak ini terdesak cari tempat perlindungan hingga 2 pagi

Kongsi kisah bela ‘kucing datang’ di TikTok, sekali tuan asal minta pulang balik

Drama Shuib dan Ryan Bakery raih 5 juta tontonan selepas 16 jam